BARU

Post Top Ad

Your Ad Spot

Isnin, 19 Oktober 2020

Kenapa ketiak kita berbau?


Bau badan. Antara perkara yang boleh bikin selera makan hilang, mood berubah dan menjadi identiti halus seseorang. Kenapa badan kita keluarkan bau, yang sampai satu tahap jadi tengik atau hamis dan mengundang cela?

Hanya dua benda yang jadi punca bau badan kita - peluh yang dihasilkan ketiak dan bakteria yang hidup dengan memakan peluh itu. Bau badan memang dikaitkan dengan penghasilan peluh, namun ketahuilah yang tak semua peluh berbau.

Sebenarnya badan kita ada berjuta kelenjar yang menghasilkan dua jenis peluh utama. Pertama, ekrin (ecrine) adalah yang paling banyak, merangkumi seluruh tubuh kita dan merembeskan air dan garam. Sementara kelenjar apokrin (apocrine) pula terbentuk selepas akil baligh di ketiak kita dan beberapa lagi tempat lain. Peluh yang dihasilkan penuh dengan protein dan lemak.

Azalinya ia tidak berbau, tetapi inilah makanan untuk para bakteria. Bakteria memang suka hidup di tempat lembab, dan di ketiak kita dianggarkan ada sejuta bakteria setiap sentimeter padu pada satu-satu masa, antara kawasan yang paling banyak didiaminya.


Antara jenis yang suka duduk di ketiak adalah Corynebacteria, Staphylococci, Micrococci dan beberapa lagi. Bakteria ini makan protein dan lemak yang terhasil oleh kelenjar apokrin, dan aktiviti itu menukarkannya menjadi sebatian baharu yang berbau kurang menyenangkan.

Bau tengik macam bawang adalah disebabkan penghasilan sejenis bahan kimia yang mengandungi sulfur daripada aktiviti bakteria tersebut. Bau seakan keju pula disebabkan kandungan asid karboksilik.

Molekul-molekul berbau ini kemudian tersebar dari ketiak kita masuk ke lubang hidung mereka yang bertuah berada dekat dengan kita. Ia dikesan oleh sejenis reseptor khas dalam hidung yang mampu mengesan molekul berbau walau dalam ketumpatan kurang daripada satu per sejuta.

Jadi apa yang menentukan tahap kehebatan bau badan kita? Ia bergantung kepada pemakanan, genetik dan gaya hidup. 


Keadaan mental juga mempengaruhi tindak balas fizikal kita. Adrenalin menyebabkan penghasilan lebih banyak peluh apokrin, jadi kalau anda sedang gemuruh misalnya, tahap kepekatan bau badan anda akan lebih kuat. Tapi tak bermakna orang yang bau badannya kuat dia selalu gemuruh.

Genetik kita menentukan apa jenis kompaun yang dihasilkan dan seberapa banyak. Setiap daripada kita mempunyai set yang berbeza. Malah, orang Asia Timur khususnya memiliki sejenis varian genetik yang mampu menghindarkan bau badan.

Bagaimana kita nak mengawal bau badan?

Bau boleh hilang bila kita mandi dan sental ketiak kita dengan air dan sabun, tapi ia takkan menyahkan kesemua bakteria dari kawasan itu kerana banyaknya sudah tertanam di dalam lapisan kulit. 


Deodoran dapat merencatkan aktiviti bakteria dan menutup bau pada masa sama. Ia bertindak dengan membentuk gel halus yang menutup kelenjar peluh, maka peluh yang terhasil lebih terkawal. 

Pemakaian haruman dan pewangi juga boleh menyembunyikan bau badan kita. Namun sepertimana yang dikatakan, ia hanya dapat mengawal penghasilan peluh. Pemakanan yang sihat juga amalan kebersihan yang baik adalah terasnya.

Walaupun secara umumnya bau badan adalah sesuatu yang dibenci, ada juga kajian mendapati ia memainkan peranan dalam perhubungan sosial antara manusia. Antaranya dapatan tentang stres dapat diredakan apabila mencium bau ketiak pasangan masing-masing.

Manusia memang sejenis spesis yang sangat kompleks.

*Sumber: Youtube TED-Ed

Post Top Ad

Your Ad Spot

Menu