BARU

Post Top Ad

Your Ad Spot

Selasa, 6 Oktober 2020

Marikh kelihatan lebih terang di langit Bumi Oktober ini


Kalau anda nampak ada seperti bintang kemerahan bersinar dekat dengan Bulan di langit pada minggu ini, itu sebenarnya adalah planet Marikh.

Ia semakin menghampiri Bumi, dan akan kelihatan paling cerah sejak 2003 apabila berada di kedudukan terdekatnya pada 6 Oktober ini pada jarak 38,586,816 batu (kira-kira 62 juta kilometer) dari Bumi sebelum beransur jauh. 

Kedudukan itu sedikit jauh berbanding pada Mac 2003, di mana Marikh berada paling dekat dengan Bumi sejak 60,000 tahun pada jarak 34.65 juta batu.

Pada 13 Oktober ini pula, Marikh akan berada pada kedudukan bertentangan, di mana Bumi berada di tengah-tengah antara planet itu dengan Matahari. NASA panggil fenomena ini sebagai Mars' opposition.

Ketika Bumi mengambil masa 365 hari, Marikh memerlukan 687 hari untuk lengkap mengelilingi Matahari. Setiap dua tahun dua bulan (lebih tepat, setiap 779.94 hari) Bumi dan Marikh akan bertentangan.

Carta pertentangan Marikh. (foto: skymarvels.com)

Pertentangan kali ini disifatkan sebagai yang terbaik untuk beberapa tahun mendatang. Para pengkaji bintang menyatakan bahawa pertentangan ini adalah waktu yang paling baik untuk mencerap planet itu dengan lebih jelas, memandangkan ia berada dalam keadaan 'penuh'.

Penggunaan teleskop akan lebih memberikan imej jelas permukaan Marikh. Namun ia tertakluk kepada keadaan di sana kerana planet itu juga bermusim dan sering terjadi ribut debu, maka jika ia berlaku permukaan Marikh akan kelihatan merah kusam sahaja.

Perhatikan di langit dan jangan lepaskan detik-detik ini, kerana pertentangan terbaik yang seterusnya hanya akan tiba 15 tahun lagi pada 2035.

Selain Marikh, perhatikan juga planet lain seperti Zuhrah (Venus), objek langit ketiga paling cerah selepas Matahari dan Bulan - yang hanya kelihatan pada waktu pagi di langit timur.

Marikh akan kelihatan lebih menonjol berbanding Musytari (Jupiter) sehingga berakhirnya Oktober, dan Musytari akan menjadi objek paling cerah di langit malam selepas itu. Pada masa sama, Zuhal (Saturn) turut akan kelihatan di timur Musytari.

Ini kerana pada tahun ini juga bakal menyaksikan pertemuan dua planet terbesar dalam Sistem Solar kita itu pada 21 Disember ini. Ia bakal menjadi pertemuan paling hampir antara mereka sejak tahun 1623.

Pertemuan antara dua planet besar Sistem Solar kita pada hujung tahun ini. (foto: classicalastronomy.com)

Ketika pertemuan terakhir pada 2000, Musytari dan Zuhal berada terlalu dekat dengan Matahari dari pandangan kita di Bumi, jadi ia tidak dapat dilihat dengan baik. Tahun ini, ia tidak wajar dilepaskan.

Fenomena ini sangat jarang berlaku, memandangkan Musytari mengambil tempoh 12 tahun Bumi untuk lengkap mengelilingi Matahari, sementara Zuhal pula mengambil masa 30 tahun. Dan setiap 20 tahun, Musytari akan dilihat 'mengejar' Zuhal sebelum 'berjumpa' di langit kita.

Jadi, saksikanlah dan hayatilah kebesaran dan keindahan alam ciptaanNya ini. Rahsia menjadi ilmu kepada mereka yang mencari.

*Sumber: CNN, Sky at Night Magazine, Universe Today, NASA



Post Top Ad

Your Ad Spot

Menu