BARU

Post Top Ad

Your Ad Spot

Rabu, 21 Oktober 2020

Nobita sebenarnya seorang pesakit mental?


Siapa tak kenal Doraemon? Dari timur sampai ke barat, watak kucing robot bulat berwarna biru berhidung merah ini cukup masyhur. Kenapa? Sebab dia boleh menyelesaikan segala masalah di dunia ini dengan pelbagai alat menarik yang keluar dari poket ajaibnya.

Dulu zaman kita sekolah membaca komik ini pasti terbayang alangkah seronoknya kalau ada Doraemon. Semua kerja boleh diselesaikan dengan mudah dengan adanya alatan dari masa depan, tak perlu berperah otak dan keringat.

Watak ini dicipta oleh duo penulis dan pelukis Jepun, Fujio Fujiko, pertama kali diperkenalkan kepada khalayak pada Disember 1969, sebelum siri komiknya diterbitkan pada Januari tahun berikutnya. Doraemon datang dari masa depan di abad ke-22 untuk membantu seorang budak lelaki berusia 9 tahun yang sering gagal bernama Nobita.

Kemunculan pertama kali Doraemon, datang dengan mesin masa yang pintunya di dalam laci meja Nobita. (foto: wikipedia)

Bagaimana Hiroshi Fujimoto dan Motoo Abiko mendapat ilham untuk menciptakan dunia Nobita dan Doraemon tidak pernah diceritakan oleh mereka sendiri, namun ada teori yang mengatakan bahawa ia sebuah penghormatan terhadap seorang budak lelaki yang mengalami sejenis masalah mental dipanggil skizofrenia.

Skizofrenia ini sejenis psikosis menyebabkan seseorang itu hilang pertimbangan untuk membezakan dunia realiti dengan fantasi. Mereka ada dunia mereka sendiri terperangkap dalam halusinasi dan delusi, dan bertindak dalam kelakuan yang tidak difahami oleh masyarakat umum.

Kerana berperangai pelik, budak lelaki ini menjadi bahan ejekan dan cemuhan di sekolahnya. Malah, tiada siapa mahu berkawan dengannya. Hidupnya sunyi, sendiri dan kesepian, lalu dirundung kemurungan.

Keadaan mentalnya itu suatu hari menjelmakan seekor/sebuah robot dari masa depan bernama Doraemon, sepertimana yang kita ketahui rupa, bentuk dan perwatakannya daripada yang dilukis oleh Fujjio Fujiko. Lantas robot (bayangan) itu menjadi temannya.

Ketika mencapai usia 16 tahun, budak lelaki itu mula mendapatkan kaunseling. Dia menceritakan tentang kehidupannya, namun dia kemudian dijelaskan oleh doktor bahawa Doraemon yang selama ini dirasakan wujud sebagai teman baiknya, hanyalah ilusi yang terbentuk dalam mindanya, dan ianya perlu dirawat.

Walaupun dalam proses berubat, kenyataan itu membuatkan hati budak lelaki itu tersentak dipanah realiti dan kembali merasa kekosongan yang teramat sangat. Dia menderita trauma mental kerana terlalu kecewa, tertekan dan tidak dapat menerima kenyataan, akhirnya menamatkan riwayatnya sendiri.

Doraemon dikatakan hanyalah sebuah watak dalam halusinasi budak lelaki tersebut, memberi satu teori tentang ilham penciptaan siri kartun ini oleh Fujio Fujiko. (foto: Doraemon Fandom)

Betul ke tidak, entahlah. Wallahu alam. 

Bagaimanapun, perlu kita lihat cerita ini sebagai sebuah kisah peringatan atau cautionary tale kepada kita manusia seluruhnya. Kesedaran kesihatan mental adalah sangat penting supaya mereka yang mengalami masalah tidak melarat dan menjurus kepada kemudaratan kepada diri sendiri. Memahami tentang psikologi manusia membuatkan kita lebih peka dan tahu untuk menanganinya dengan baik.

Pada masa sama, kebergantungan kepada teknologi menyebabkan kita manusia semakin lemah. Bukan menolak terus penggunaan teknologi, tetapi pengharapannya perlu ada limitasi. Ia bukanlah penyelesai, tetapi pemudah cara.

Memang seronok kalau ada Doraemon dan alat-alatnya. Namun, di mana manusianya kalau segalanya diserahkan kepada mesin untuk diselesaikan? Jangan jadi hamba teknologi, jadikannya alas kaki untuk kita manusia yang lebih berupaya dalam mencari apa sebenarnya makna kewujudan kita di dunia ini.

*Sumber: ProCaffeination, Wikipedia, Doraemon Fandom

Post Top Ad

Your Ad Spot

Menu