BARU

Post Top Ad

Your Ad Spot

Selasa, 20 Oktober 2020

RancakX : 10 universiti tertua di dunia

Ketika kebanyakan manusia malu untuk mendedahkan umur yang semakin lanjut, berbeza dengan sesebuah institusi. Lagi lama hayatnya, lagi dibanggakan.

Lebih-lebih lagi institusi pendidikan yang menjadi lambang ketertinggian penghargaan sesebuah masyarakat itu terhadap ilmu, usia menjadi sebahagian kayu ukur prestijnya. 

Ini dia senarai 10 institusi pengajian tinggi tertua di dunia.


10. Universiti Coimbra, 1290


Asalnya ditubuhkan di ibu kota Lisbon, institusi ini berpindah ke beberapa lokasi sebelum kekal di Coimbra, sebuah bandar di tengah Portugal. Badan pelajarnya terdiri daripada sekitar 24,000 penuntut, dan universiti ini menjadi medan pengajian ribuan pelajar dari seluruh negara setiap tahun. Ia disenaraikan juga dalam Tapak Warisan Dunia UNESCO pada 2013.


9. Universiti Valladolid, 1241


Diasaskan di wilayah autonomi Castile dan León, hari ini ia mempunyai tujuh kampus yang terbina di serata wilayah itu. Ketika penubuhannya, Sepanyol masih belum lagi wujud sebagai sebuah entiti politik. Maka ia menempuh pelbagai perubahan menyusuri sejarah negara itu.


8. Universiti Siena, 1240


Siena merupakan sebuah bandar kecil di Tuscany, Itali. Maka lebih 20,000 penuntutnya membentuk separuh daripada populasi bandar tersebut. Universiti dengan nama asal Studium Senese ini menerima lonjakan jumlah pelajar daripada perpindahan penuntut Universiti Bologna susulan insiden protes besar di sana pada 1321.


7. Universiti Naples Federico II, 1224


Walaupun yang ketujuh di dunia dan ketiga di Itali dalam ranking usia penubuhan, universiti di Napoli ini adalah institusi dana awam tertua di dunia. Diasaskan oleh Maharaja Rom Frederick II, universiti ini tidak ada kaitan langsung dengan gereja, sesuatu yang sangat jarang dibuat pada ketika itu.


6. Universiti Padua, 1222


Kewujudannya berasal daripada para pengajar di Universiti Bologna yang berdepan sekatan ideologi, maka mereka bersama keluar dan membentuk sebuah institusi baharu yang lebih bebas pemikirannya. Antara yang pernah mengajar di sini adalah ahli astronomi termasyhur, Nicolas Copernicus dan Galileo Galilei.


5. Universiti Cambridge, 1209


Sama kes seperti di atas, Universiti Cambridge ditubuhkan oleh para cerdik pandai di Universiti Oxford yang merasakan kebebasan intelektual mereka terhad. 121 orang pemenang Hadiah Nobel, 14 orang Perdana Menteri Britain dan 194 pingat emas Olimpik antara pencapaian universiti tersohor ini.


4. Universiti Salamanca, 1164


Walaupun asal usulnya agak kabur, dipercayai pengajaran dan pembelajaran telah bermula di sini sekitar 1094 dan secara rasminya diiktiraf oleh Raja León pada 1164. Di institusi inilah dikatakan perbincangan Christopher Columbus diadakan - tentang sama ada cadangannya untuk berlayar ke barat boleh dilaksanakan, dan bagaimana Columbus dan orang-orangnya patut melayan orang Asli Amerika.


3. Universiti Oxford, 1096


Ini adalah universiti pertama dan tertua di alam Inggeris, walaupun kebanyakan pengajarannya dalam bahasa Latin. Ia mula menjadi besar selepas semua orang kaya England dilarang oleh Raja Henry II untuk menuntut di Universiti Paris. 28 orang Perdana Menteri Britain pernah belajar di sini, dan 72 pemenang Hadiah Nobel pernah menjadi pelajar atau tenaga pengajar.


2. Universiti Bologna, 1088


Walaupun Maharaja Frederick II menganugerahkan Piagam Diraja pada 1158, sejarah universiti ini bermula hampir 100 tahun sebelum itu. Dahulunya penuntut hanya mempelajari tentang hukum kanun dan undang-undang sivil. Penyair ulung, Dante Alighieri pernah mengajar di sini, dan prestasinya kekal konsisten dari dahulu sehingga hari ini sebagai pusat akademik terbaik, selain menjadi yang tertua di Itali.


1. Universiti Al-Qarawiyyin, 859


Rekod Dunia Guinness dan UNESCO meletakkannya sebagai "institusi ilmu yang masih beroperasi tertua di dunia." Dunia barat dahulunya tidak menganggap ia sebagai sebuah universiti kerana Al-Qarawiyyin bermula sebagai sebuah madrasah di masjid yang diasaskan oleh seorang wanita bernama Fatima al-Fihri di Fes, Maghribi. 

*Sumber: Culture Trip, Wikipedia


Post Top Ad

Your Ad Spot

Menu