BARU

Post Top Ad

Your Ad Spot

Rabu, 7 Oktober 2020

Sejarah mi segera


Mi segera adalah jawapan mudah kepada kelaparan, apatah lagi ketika hujan. Apabila buntu tak tahu nak makan apa, tak sempat nak masak apa-apa, dalam dingin hembusan angin malam, alangkah nyamannya tekak dijamu mi segera panas.

Ketika mi segera menjadi makanan wajib ada di pantri dan di dapur, tidak ramai tahu dari mana asal usulnya makanan segera ini.

Mi segera yang pertama dicipta di Jepun oleh Momofuku Ando, sebagai membantu meringankan masalah kesuntukan bekalan makanan rakyat Jepun dalam kehidupan sukar pasca Perang Dunia Kedua.

Dia mencipta cara menghasilkan mi segera dari proses pembuatan mi, kemudian distimkan, diletak perasa sehingga dikeringkan. Ia sedia dimakan apabila blok mi kering itu direndam di dalam air mendidih selama dua minit.

Ini dia bapak mi segera, Momofuku Ando. Dia cipta mi segera sebagai alternatif bagi memudahkan rakyat pasca Perang Dunia Kedua.

Dengan jenama Chikin Ramen dihasilkan oleh syarikatnya Nissin Foods, Ando memasarkan mi segera buat kali pertama pada 25 Ogos 1958 pada harga 35 Yen bagi setiap satu blok. Pada awalnya, ia merupakan satu makanan mewah, lebih mahal daripada bahan makanan mentah. Mi segar hanya berharga satu per enam daripada harga mi segera ketika itu.

Lama-kelamaan, ia menjadi semakin mendapat sambutan dan menular ke seluruh Jepun, kemudian merebak ke Asia Timur dan popular di Asia Tenggara serta Asia Selatan. Harganya pun dikurangkan dan kini menjadi makanan alternatif yang jauh lebih murah berbanding sepinggan hidangan di kedai makan.

Serbuk perasa hadir kemudian dalam paket yang disertakan dalam bungkusan Chikin Ramen bagi meningkatkan kualiti rasanya. Ando kemudian mahu memperluaskan pasarannya ke Amerika Syarikat pada 1970, tetapi menyedari yang orang Amerika tidak mempunyai mangkuk memandangkan mi bukan makanan mereka.

Maka pada 1971, Nissin memperkenalkan Cup Noodles, yang lebih memudahkan pemakanan dengan hanya memasukkan air panas ke dalam cawan yang diisi mi segera dan perasanya. Bermula itu, mi segera terus berkembang ke serata dunia.

Macam-macam jenis mi segera dengan pelbagai rasa kini di pasaran. 

Hari ini, boleh kata setiap negara terutamanya di rantau yang disebutkan tadi ada beberapa syarikat pembuat mi segera sendiri. Masing-masing ada rasa unik dan tersendiri mengikut citarasa tempatan.

Menurut Persatuan Mi Segera Dunia (ada persatuan ya), China menjadi negara paling ramai pemakan mi segera pada lebih 40 bilion hidangan setahun, bersamaan 34% penggunaan dunia. Ia diikuti Indonesia pada 12 bilion, kemudian India (6 bilion), barulah Jepun (5.7 bilion.

Bagaimanapun, jika mengikut bilangan pemakanan dibanding populasi, Korea Selatan di tempat pertama dengan 74.6 hidangan setiap orang setahun, kemudian Vietnam (53.9 hidangan) dan seterusnya Nepal (53 hidangan).

Bagi menyantuni peningkatan kesedaran terhadap pemakanan sihat, untuk terus relevan, ada juga syarikat yang menghasilkan alternatif mi segera yang lebih 'sihat' - mi dengan serat dan kolagen, rendah kalori, dan rendah sodium.

Kegemaran rakyat Malaysia sepanjang zaman, Maggi Kari. 

Ada yang mengubah suai sendiri mi segera menjadi hidangan mi seakan di restoran. Biasanya ditambah cili, bawang, sos, daging-daging haiwan dan bermacam lagi. Kalau kita, ditumis dahulu dengan bawang, kemudian diletak telur dan sayur. Peh.

Sekarang ada juga yang agaknya dah panjang akal sangat, dicampur mi segera dengan ramuan-ramuan aneh. Misalnya, mi segera kari dengan serbuk Milo. Apa benda?

Namun harus diingat, mi segera ini tinggi kandungan garamnya dan bahan pengawet. Boleh makan, tapi berpadalah ya, demi kesihatan kita. Rancak TV peduli.

*Sumber: Wikipedia, Insider

Post Top Ad

Your Ad Spot

Menu