BARU

Post Top Ad

Your Ad Spot

Jumaat, 9 Oktober 2020

Vape dan rokok, sama sahaja


Memang ramai memilih tabiat baharu vaping sebagai eskapisme daripada rokok yang akhirnya disedari membahayakan kesihatan. Tak kurang juga yang vape walaupun tidak pernah merokok, sekadar seronok bermain dengan asap.

Ketika ia mula memecah pasaran pada awal 2000-an, vape diangkat sebagai alternatif yang lebih selamat. Namun sebenarnya ia juga boleh mendatangkan kemudaratan yang agak serius.

Kerana budaya vaping ini masih baharu, tidak banyak kajian dan maklumat untuk menunjukkan kesan jangka panjang sebenar kepada tabiat ini serta bagaimana ia boleh dikaitkan dengan penyakit yang menyerang jantung dan paru-paru.

Rokok tradisional pun dahulu mengambil masa berpuluh tahun sebelum ia dapat dibuktikan kesan jangka panjang yang buruk, begitu jugalah dalam hal rokok elektronik ini. 

"Kalau kita tengok vaping ini, sudah ada data awal menunjukkan bahawa ada risiko kesihatan yang dapat dikaitkan dengan penggunaan rokok elektronik," kata Dr. Osita Onugha, profesor di John Wayne Cancer Institute, Providence St. John's Health Center, California AS.

Namun umum tahu bahawa rokok elektronik juga mengandungi nikotin, sama macam rokok. Nikotin adalah bahan yang menyebabkan ketagihan tabiat itu. Bukan sebab asap rasa macam mangga atau kek keju, tapi nikotin yang buat tak berhenti menghisap.

Selain nikotin, ada beberapa lagi bahan kimia di dalam cecair rokok elektronik yang dapat memberikan kesan buruk kepada kesihatan kita. Antaranya:

- Acrolein, bahan yang selalu digunakan dalam racun rumpai

- Diacetyl, bahan yang membangkitkan perasa dalam rokok elektronik dan dikaitkan dengan bronchiolitis obliterans, sejenis penyakit kronik paru-paru.

Macam-macam bentuk dan rupa rokok elektronik/vape, menjadikannya lebih menarik untuk dijadikan sebagai gaya hidup.

Ada satu kajian pada 2019 di mana asap rokok elektronik didedahkan kepada tikus selama empat bulan (satu perempat daripada jangka hayatnya). Walaupun tiada komplikasi yang biasa dikaitkan dengan rokok seperti emfisema, tapi tikus itu mengalami kerosakan paru-paru, keradangan dan kemerosotan sistem imun.

Pada Ogos 2019, Amerika mencatatkan satu letusan kes jangkitan paru-paru yang teruk, yang dinamakan 'E-Cigarette or Vaping Product Use-Associated Lung Injury' atau EVALI. Simptomnya termasuk pendek nafas, jantung berdegup laju, demam, sakit dada, mual dan muntah.

Lebih daripada 2,000 orang dimasukkan ke hospital di Amerika kerana EVALI dan berpuluh maut, menurut Centers for Disease Control (CDC). Kajian makmal membuktikan ada kaitan kuat EVALI dengan vitamin E acetate, bahan ketagihan yang ada dalam rokok elektronik.

Vitamin E yang selalu ditemui dalam minyak sayur, daging dan buah-buahan memang baik kalau dimakan, tetapi sebaliknya jika ia disedut, dihirup dan dihisap masuk ke dalam paru-paru. Ia mengganggu organ itu berfungsi.

Ini namanya me'naga'. Vape ini seronoknya adalah bermain dengan asap yang berkepul-kepul, macam asap keluar dari mulut naga.

Vaping memang bahaya, tapi ada kajian mengatakan ia berkesan membantu orang berhenti merokok. Kajian pada 2019 yang ditaja Pfizer dan Johnson and Johnson orang yang menggunakan rokok elektronik mempunyai kadar berhenti merokok selama setahun pada 18%, dibanding dengan orang yang menggunakan penggantian nikotin pada 10%.

Tapi, ketika subjek dapat berhenti merokok, 80% daripada masih menghisap vape setahun selepas itu, dan hanya 9% orang yang menggunakan penggantian nikotin masih menggunakan penggantian nikotin. Senang kata, orang yang vape untuk berhenti merokok, ramai yang terus vape dan tidak berhenti daripada tabiat itu.

Kesimpulannya, tak ada beza vape dengan rokok. Ia hanya menukarkan satu masalah kepada satu masalah lain sahaja. Ia tetap berbahaya.

Memang sukar untuk hentikan sesuatu ketagihan. Kalau betul-betul mahu berhenti, dinasihatkan agar pergi dapatkan nasihat dan kaunseling doktor yang akan disarankan pengambilan bahan yang perlu untuk membantu misi mulia anda itu. Anda boleh!

Rancak TV peduli.

*Sumber: Insider

Post Top Ad

Your Ad Spot

Menu