BARU

Post Top Ad

Your Ad Spot

Jumaat, 6 November 2020

Firaun mana yang menentang Nabi Musa A.S.?


Musa alaihissalam (AS) merupakan utusan Allah yang paling banyak disebut namanya di dalam Al-Quran - 135 kali. Baginda merupakan merupakan salah seorang daripada lima manusia istimewa yang diangkat sebagai Ulul 'Azmi, iaitu nabi-nabi dengan ketabahan yang luar biasa dalam menegakkan ajaran Allah.

Riwayat Nabi Musa membawa cahaya kebenaran adalah satu kisah epik yang bukan sahaja diceritakan dalam Al-Quran, tetapi juga kitab Injil dalam The Book of Exodus.  Cabarannya amat getir apabila diutus supaya berdepan dengan Firaun dan membebaskan Bani Israel daripada kegelapan.

Dikisahkan, Musa AS dilahirkan ketika tempoh di mana Firaun memerintahkan supaya setiap bayi lelaki Yahudi dibunuh, selepas dia mendapat mimpi bahawa api besar datang dari Baitul Maqdis memusnahkan kerajaannya, kecuali kawasan yang didiami orang-orang Yahudi. 

Ibunya, Yukabid diwahyukan supaya meletakkan Musa AS ke dalam raga dan menghanyutkannya ke sungai Nil bagi menyelamatkannya daripada buruan para tentera Firaun. Akhirnya, raga berisi bayi suci mulia itu tiba ke istana Firaun lalu diambil oleh Asiah, isteri pemimpin tertinggi kerajaan Mesir itu.

Musa AS diberi ibu susuan di dalam istana namun ditolak. Kakaknya, Mariam yang mengekori jejak Musa AS lantas menghadap dan menawarkan seorang wanita yang boleh menyusukan Musa, iaitu ibunya sendiri Yukabid. Maka dipertemukanlah semula ibu dan anak itu sepertimana yang telah dijanjikanNya.

Kuil Abu Simbel dibina Firaun Ramses II sebagai antara manifestasi kemuncak keunggulan peradaban Mesir purba. (foto: Wikipedia)

Musa AS membesar menjadi pemuda yang gagah dan terdidik sebagai putera raja. Satu hari ketika sedang berjalan-jalan di pekan, baginda terlihat pertelingkahan antara seorang lelaki berbangsa Mesir dengan seorang lelaki Yahudi, yang meminta tolong baginda dalam hal itu. Sesuatu telah mencetuskan kemarahan Musa AS lalu baginda menumbuk lelaki Mesir itu sehingga mati.

Menyedari baginda telah melakukan kesalahan besar membunuh, Musa AS memohon keampunan kepada Tuhan. Namun keesokan harinya baginda berdepan sekali lagi dengan satu pergaduhan yang melibatkan orang Yahudi dan Mesir. Ketika orang Yahudi itu meminta bantuan Musa AS, orang Mesir itu memberitahu bahawa kes pembunuhan semalam sudah diketahui Firaun yang telah memerintahkan supaya Musa AS ditangkap dan dijatuhkan hukuman bunuh.

Lantas Musa AS lari meninggalkan kota, meredah gurun dan selepas berhari-hari akhirnya sampai ke Madyan. Di sana, baginda terlihat dua orang gadis berdepan kesulitan ketika memberi minum kepada haiwan ternakan mereka, lalu dibantunya. Perihal itu dikhabarkan kepada bapa mereka iaitu Nabi Shuaib AS yang kemudian menjemput Musa AS hadir ke perkampungan mereka. Musa AS diberi kerja untuk menjaga ternakan Shuaib AS, dan kemudian berkahwin dengan anak perempuannya, Safurah.

Selepas 8 hingga 10 tahun, Musa AS memohon untuk kembali ke Mesir bersama isterinya. Ketika dalam perjalanan, baginda terhenti di kaki Gunung Thursina (juga dikenali sebagai Gunung Sinai) apabila ternampak cahaya seakan api, difikirkannya boleh diambil sebagai penyuluh jalan. Rupanya di situ Musa mendapat wahyu supaya membawa kebenaran ke bumi Mesir dan membebaskan bangsanya daripada cengkaman Firaun.

Bukit/Gunung Sinai, atau juga dikenali dengan nama Thur, Thursina dan Jabal Musa. Di sini jugalah dikatakan Musa AS diturunkan kitab Taurat. (foto: Wikipedia)

Dibantu abangnya Harun AS, Musa AS berkonfrantasi dengan Firaun dalam beberapa siri yang panjang dan getir. Bermula dengan pertarungan sihir ular dengan mukjizat tongkat, Firaun juga mengarahkan menterinya Haman membina menara tinggi supaya 'dapat melihat tuhan Musa'. Pelbagai bencana juga diturunkan Allah SWT seperti serangan belalang, kutu, katak dan bermacam wabak yang membuatkan hidup mereka merana. Begitupun, Firaun tetap angkuh.

Akhirnya pada satu malam, Musa AS memimpin Bani Israel keluar secara senyap dari kota selepas mendapat wahyu daripadaNya. Mereka berarak beramai-ramai sehinggalah apabila mereka sampai ke penghujung jalan, mereka menyedari yang bala tentera Firaun sedang mengejar di belakang dan mereka dalam keadaan terkepung. Pada ketika itu, Allah berfirman supaya Musa AS menghentakkan tongkatnya ke gigi air lalu terbelahlah Laut Merah untuk direntas pada pengikutnya meloloskan diri daripada buruan tentera Firaun.

Melihat Musa AS dan orang-orangnya sudah lepas ke seberang sana merentas laut yang terbelah, Firaun dan bala tenteranya terus mengejar dan cuba melewatinya. Tatkala itu, dinding air yang sebelum itu teguh, runtuh dan menenggelamkan Firaun bersama orang-orang angkuh dan kufur ke dasarnya.

Begitulah ringkasan daripada kisah epik yang panjang tentang episod pertentangan Musa AS dengan Firaun. Versi yang diceritakan dalam Injil juga hampir sama dengan apa yang diceritakan dalam Al-Quran, hanya ada sedikit perbezaan. Sehingga hari ini, para cendekia dan pengkaji menelaah dokumen dan spesimen sejarah dalam mencari bukti kebenaran kisah di dalam kedua-dua kitab agung itu.

Persoalan besar yang timbul dalam hal ini adalah siapakah Firaun yang disebutkan Al-Quran dan Injil itu?

Sejarah tamadun Mesir purba bermula sejak kira-kira 3100 tahun Sebelum Masihi dan terbahagi kepada tiga zaman - Kerajaan Lama, Kerajaan Pertengahan dan Kerajaan Baharu, sebelum ia berakhir apabila Alexander the Great menakluk Mesir pada 332 SM. Sepanjang itu, ada beratus-ratus Firaun (malah ada banyak lagi yang belum diketahui) telah memerintah bumi Mesir.

Dalam tradisi Islam tidak menyebut secara spesifik perkiraan tahun kelahiran Musa AS, hanya disebut baginda lahir pada ketika Firaun di kemuncak kuasanya. Sementara menurut kepercayaan Yahudi lama, Nabi Musa AS dianggarkan hidup dari tahun 1391 hingga 1271 SM. Ini dan beberapa teori lagi bagaimanapun tidak dapat dibuktikan kesahihannya.

Ada beberapa nama yang disebut, dan yang paling popular adalah Ramses II. Ramses II bertakhta pada 1279 hingga 1213 SM dianggap sebagai Firaun terulung dan paling berkuasa antara semua Firaun yang ada dalam sejarah, digelar 'Ramses The Great'.

Mumia Ramses II yang kini disimpan di Kaherah, Mesir. Kiri adalah ukiran Ramses II di Memphis bertarikh 1250 SM. (foto: Wikipedia)

Ramses II menjadi calon paling popular apabila dipaparkan dalam filem The Ten Commandments (1956) dan filem animasi The Prince of Egypt (1998) sebagai antagonis yang melawan watak Moses. Berdasarkan catatan sejarah, dia adalah Firaun yang paling lama berkuasa ketika kemuncak Kerajaan Baharu Mesir. Ketika pemerintahannya, dia membina kota dengan monumen, kuil, dan istana yang cukup gah. 

Bagaimanapun, kajian sains terhadap mumianya mengatakan Ramses II mati akibat masalah gigi yang kronik, athritis dan salur darah mengeras. 

Selain itu, ada juga teori yang mengatakan Musa AS hidup pada zaman dua Firaun yang berbeza. Sebelum berdepan dengan Ramses II, Musa AS dipercayai diambil dari sungai Nil dan dibesarkan dalam istana ketika pemerintahan bapa Ramses II, bernama Seti I. Tidak kurang juga yang percaya bahawa Seti I adalah orangnya yang menentang Musa AS.

Mumia Seti I. Kanan adalah lukisan Seti di makamnya di Lembah Raja-Raja, Luxor, Mesir. (foto: Wikipedia)

Ini kerana sebab kematian Seti I, yang bertakhta pada 1290 hingga 1279 SM, adalah tidak diketahui. Mumianya ditemui tanpa sebarang tanda cedera, cuma ada yang mencadangkan bahawa dia mati kerana dirundung sejenis penyakit yang juga masih belum dapat dijelaskan. 

Seorang lagi Firaun yang disebut adalah Thutmose II, berdasarkan cadangan Alfred Edersheim dalam bukunya Old Testament Bible History bahawa Firaun itu paling sesuai berdasarkan tempoh pemerintahannya yang sekejap dan tiba-tiba jatuh tanpa pewaris untuk meneruskan legasinya. 

Ukiran Firaun Thutmose II di kompleks Kuil Karnak. Kiri adalah mumianya. (foto: Wikipedia)

Walaupun zaman pemerintahannya jauh lebih awal (1493 - 1479 SM), Thutmose II adalah satu-satunya mumia Firaun yang ada sista (cyst), kemungkinan ada kaitan dengan peristiwa wabak yang melanda sepertimana yang diceritakan Al-Quran dan Injil.

Akhir sekali, rujukan pertama yang menyatakan tentang 'Israel' terpapar pada Stele Kemenangan Firaun Merneptah, salah seorang anak Ramses II. Monumen tersebut bertarikh sekitar 1207 SM, mencadangkan peristiwa pelarian Bani Israel itu berlaku sekitar zaman pemerintahan Merneptah (antara 1280 - 1220 SM).

Mumia Firaun Merneptah, dan tablet Stele Kemenangannya yang kini dipamerkan di Muzium Mesir, Kaherah. (foto: Wikipedia)

Bagaimanapun, tiada satu pun antara kesemua calon-calon yang disebutkan ini menunjukkan tanda-tanda mati disebabkan lemas, memandangkan sukar untuk mencari bukti kerana semua organ dalaman dikeluarkan dan disimpan di dalam balang khas semasa proses mumifikasi. Selepas ribuan tahun, sudah pasti semuanya sudah musnah dimamah masa.

Seperti Firaun-Firaun lain, tiada juga sebarang rekod berkaitan peristiwa Exodus itu ditemui pada mana-mana artifak Mesir purba yang telah diteroka setakat ini. Ia bukanlah sesuatu yang janggal, kerana setiap dinasti tidak akan merekodkan cerita kekalahan dan keburukan mereka.

Walaupun masih belum ada bukti kukuh untuk menjelaskan peristiwa besar yang disebut dalam Al-Quran dan Injil itu benar-benar berlaku, segala yang diceritakan adalah benar dan wajib dipercayai para penganutnya. 

Mesejnya tetap sama dan relevan sampai akhir masa, itu pun tidak semua orang dapat mentafsir sepenuhnya dan sebenar-benarnya rahsia di sebalik naratif penting yang dikongsi dua kitab suci itu.



*Sumber: National Geographic, Britannica, Wikipedia, Egypt Today, Jerusalem Post, Aish, Addeen.my, CNN Indonesia


Post Top Ad

Your Ad Spot

Menu