BARU

Post Top Ad

Your Ad Spot

Khamis, 19 November 2020

Imbangan kerja-kehidupan Kuala Lumpur semakin corot


Baru-baru ini, keluar satu laporan oleh Kisi (sebuah syarikat pembangun keselamatan berasaskan awan 'cloud-based) bertajuk "Bandar Dengan Imbangan Kerja-Hidup Terbaik 2020". 

Dalam penyenaraian itu, Malaysia berada di tangga ke 47 daripada keseluruhan 50 negara yang diselidik. Tiga dari bawah.

Ini bukan kali pertama Kuala Lumpur mencatat skor yang teruk. Laporan tahun lepas oleh Kisi juga meletakkan ibu kota kebanggaan Malaysia di tangga terakhir, ke-40 dalam kalangan 40 negara diselidik. Tahun ini apabila Kisi menambah 10 lagi negara, kita turun lagi tujuh anak tangga.

Kita tidak boleh kata kajian itu tidak benar. Ia dibuat oleh sebuah pembangun keselamatan berdasarkan data intensiti kerja, waktu bekerja, waktu bergerak dari & ke tempat kerja, perundangan, waktu bercuti, keboleh hidupan dan bermacam lagi faktor yang berkaitan. Kita sendiri, khususnya yang tinggal dan bekerja di kotaraya Kuala Lumpur dapat merasakannya.

Jangan kita membandingkan negara kita dengan bandar-bandar hebat yang juga berada di kelompok terbawah seperti Seoul dan Milan, yang masing-masing berada di tangga terakhir dan kedua terakhir. Kita perlu melihat di manakah silap kita sehingga kita diletakkan pada kedudukan itu.

Menurut Kisi, index ini bukan untuk memberi tumpuan kepada bandar mana yang terbaik untuk bekerja. Namun, ia berhasrat sebagai petunjuk kepada kebolehan sesebuah bandar menyediakan keseimbangan kerja-kehidupan kepada warganya di samping memberi peluang untuk melegakan tekanan berkaitan kerja.

Berdasarkan index tersebut, kota raya ibu negara kita berada di tempat ke-47, jatuh lagi tujuh anak tangga berbanding penilaian tahun sebelumnya. (grafik: The ASEAN Post)

Benar, kita negara membangun. Ironinya, banyak bandar yang disenarai paling terlebih waktu kerja adalah dari kelompok negara-negara ASEAN dan sekitarnya. Bangkok dan Singapura bersama Kuala Lumpur di kedudukan 10 terbawah, masing-masing di tempat ke-43 dan ke-41. Tetapi adakah matlamat untuk membangun menjadi sebuah negara 'maju' boleh dijadikan alasan untuk membiarkan rakyatnya terus dikerah dan tidak dapat menikmati kehidupan yang seimbang?

Rakyat yang menggerakkan sesebuah bandar atau lebih besar skopnya - negara - adalah bukan robot. Mereka adalah manusia yang memiliki had keupayaan yang berbeza dan emosi yang kompleks. Jika ada orang yang boleh bekerja lebih 50 jam sehari, tak bermakna semua orang boleh dan perlu berbuat begitu.

Banyak kajian telah dibuat berkenaan hubung kait waktu kerja yang lama dengan kesihatan mental. Secara amnya, dapatan menunjukkan masalah mental seperti kemurungan, keresahan dan gangguan tekanan pasca-trauma (PTSD) semakin meningkat saban hari kerana tekanan yang semakin memuncak dalam pekerjaan. 

Survei sebuah syarikat insurans, AIA Vitality pada 2019 mendedahkan bahawa pekerja-pekerja di Malaysia selalu bekerja lebih masa dan tak cukup tidur, dengan 51 peratus menderita daripada sekurang-kurangnya satu dimensi tekanan berkaitan kerja. Selain itu, 53 peratus daripada bancian tidur kurang tujuh jam dalam tempoh sehari. Juga, dilaporkan masalah kesihatan mental di Malaysia mengalami peningkatan tiga kali ganda dalam tempoh dua dekad kebelakangan ini.

Lebih-lebih lagi apabila pandemik membadai negara ini, ramai yang tidak dapat meletakkan sempadan antara kerja dengan kehidupan ketika berada di rumah. Maka ramai cenderung untuk bekerja sepanjang hari, dan ini menjadi bahan bakar kepada kemerosotan mental dan juga fizikal apabila tubuh tidak bergerak aktif seperti sebelumnya, pada mana kita bergerak untuk ke tempat kerja dan beraktiviti sosial sehari-harian.

Apa yang kita kejarkan sebenarnya? (foto: Astro AWANI)

Mungkin kita memikirkan bahawa bekerja lebih masa itu penanda aras kecemerlangan seseorang, tetapi produktiviti - atau lebih mustahak kecekapan para pekerja dalam menyelesaikan tugasan adalah cerita yang berbeza. Bekerja lebih masa tidak membantu dalam penghasilan kerja yang bermutu, dan sejarah telah membuktikannya.

Lebih seratus tahun lalu, Ernst Abbe, ketua kilang pembikin lensa terkemuka berkualiti tinggi, Zeiss di Jerman, mendapati bahawa memendekkan waktu kerja dari sembilan jam ke lapan jam sehari telah membuahkan produktiviti yang lebih cemerlang. Dia juga mendapati apabila waktu kerja seminggu melebihi 40-50 jam, produktiviti akan menurun.

Taikun automobil, Henry Ford bereksperimen dengan jadual waktu kerja yang berbeza untuk para pekerjanya. Selepas memperkenalkan jadual kerja lima hari, 40 jam seminggu pada 1926, dia mendapati para pekerjanya menghasilkan lebih dalam tempoh itu berbanding kerja selama enam hari.

Ia diperkukuhkan lagi apabila kajian Stanford Universiti di Amerika Syarikat menemukan bahawa pekerja yang dikerah bekerja lebih daripada 40 hingga 50 jam seminggu menghasilkan tahap output yang kurang berbanding yang bekerja di bawah tempoh itu. Pendek kata, lagi lama waktu bekerja, hasilnya tidak ke mana.

Keadaan ini terlihat khususnya dalam sektor perindustrian, di mana buruh yang bekerja lebih masa menjadi penat dan mendorong kepada kesilapan dan kecelakaan dalam kerja mereka. Ingat, pekerja ini manusia, bukan robot yang kalau rosak boleh dibaiki begitu sahaja atau diganti baharu. Kalau mata buta, penglihatan tidak boleh dikembalikan. Kalau urat otak putus, tak siapa tahu.

Bukan tertumpu khusus kepada Kuala Lumpur sahaja, tetapi Malaysia secara keseluruhannya. Budaya kerja di negara ini perlu diperbaiki dan menjadi sistem yang membentuk dan melahirkan manusia, bukan sekadar alat untuk memacu visi negara yang tidak dipeduli kondisinya.

Kita perlu lihat kembali matlamat kita dan bagaimana sistem yang diterapkan untuk mencapainya. Adakah kita mengejar Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) yang diukur pada perolehan kewangan semata-mata, atau kita mahu membentuk sebuah negara dengan masyarakat yang sejahtera, sihat dan seimbang rohani serta jasmaninya.

Kita mesti, patut, perlu, kena dan wajib memperhalusi semula bagaimana kita menterjemah maksud 'KEMAJUAN'.


*Sumber: The ASEAN Post


Post Top Ad

Your Ad Spot

Menu