BARU

Post Top Ad

Your Ad Spot

Jumaat, 27 November 2020

Misteri di Point Nemo, titik paling terasing di muka Bumi


Bumi ini ada tujuh lautan, dan antara kesemuanya Lautan Pasifik adalah yang paling luas. Di tengah-tengahnya Lautan Pasifik, ada satu titik yang dinamakan Point Nemo. Di situ adalah titik paling jauh dari sebarang peradaban di muka Bumi ini.

Secara rasminya, Point Nemo ini dipanggil 'oceanic pole of inaccessability' atau dalam bahasa Melayunya 'kutub lautan yang tidak terakses'. Ia dipanggil Point Nemo kerana 'nemo' bererti 'tiada siapa' dalam bahasa Latin, juga dikatakan sempena watak Captain Nemo dalam novel klasik Jules Verne berjudul 'Twenty Thousand Leagues Under the Seas'.

Point Nemo ditemui pada 1992 oleh seorang jurutera survey Croatia-Kanada bernama Hrvoje Lukatela. Dia sendiri tidak pernah sampai ke titik itu, hanya meneroka kewujudannya menggunakan program komputer geo-spatial.

Penemuannya juga dikaitkan dengan cerita fiksyen pendek 'The Call of Cthulhu' tulisan H.P. Lovecraft pada 1926. Dalam kisah itu, diceritakan ada seekor raksasa laut bersesungut tinggal di sebuah kota yang hilang bernama R'yleh yang terletak di selatan Laut Pasifik.

Raksasa bernama Cthulhu, hasil imaginasi Lovecraft. - (foto: Wikimedia Commons)

Jika anda berada di titik itu, kawasan darat yang terdekat adalah sejauh 2,688 kilometer di setiap arah iaitu Pulau Ducie di Kepulauan Pitcairn, atau Moto Nui di Kepulauan Easter, atau Kepulauan Maher di Antartika. Malah, para angkasawan di Stesen Angkasa Antarabangsa (ISS) berada lebih dekat dengan anda yang hanya sejauh 408 kilometer di angkasa jika ia melintasi titik tersebut.

Ia juga diketahui sebagai 'kawasan perkuburan kapal angkasa'. Kerana roket dan satelit yang tidak dipandu manusia ini tidak dapat menahan haba apabila masuk semula ke atmosfera Bumi, saintis menyusun laluannya supaya pergi ke tempat yang jauh dari manusia. Dengan populasi sifar, Point Nemo adalah tempat yang paling sesuai.

Di Point Nemo juga secara relatifnya tiada hidupan, memandangkan kedudukannya di Pusaran Pasifik Selatan menghalang air bernutrien daripada sampai ke situ. Jangan kata manusia, haiwan laut pun tidak boleh hidup di situ.

Pada 1997, saintis mengesan bunyi di dasar laut yang didapati antara yang terkuat yang pernah direkodkan di sekitar titik itu. Mereka bingung mencari jawapan kepada persoalan bagaimana boleh terhasil bunyi sekuat itu yang mereka gelar sebagai 'The Bloop'. 


Maka timbullah spekulasi dan konspirasi yang mengaitkannya dengan kisah Lovecraft yang ditulis 66 tahun sebelum Point Nemo diterokai secara rasmi. Dalam 'The Call of Cthulhu', dia menyatakan bahawa kota R'yleh itu terletak di koordinat 47°9'S 126°43'W, yang mana sangat hampir dengan kedudukan Point Nemo dan dekat dengan titik di mana 'The Bloop' dirakam. Ada yang percaya Point Nemo ini memang tempat makhluk yang tidak diketahui.

Bagaimanapun, akhirnya 'The Bloop' itu didapati adalah bunyi daripada bongkah ais yang pecah di Antartika, dan bukanlah 'panggilan Cthulhu'. 

Tapi kalau difikirkan, macam mana Lovecraft boleh beri koordinat yang sehampir itu berpuluh tahun lebih awal sebelum kewujudannya diketahui dengan bantuan teknologi, walaupun ia hanya sekadar sebuah fiksyen?

Bagaimanapun kalau anda mahu meneroka sendiri sama ada benar wujud Cthulhu atau apa sahaja makhluk di situ, ini koordinatnya tepat ke Point Nemo - 45°52.6'S 123°23.6'W. Line telefon tak ada di situ, jadi saya ucapkan selamat pergi dan selamatlah kembali ya!


*Sumber: All Thats Interesting, archive.theoceanrace, Wikipedia


Post Top Ad

Your Ad Spot

Menu