BARU

Post Top Ad

Your Ad Spot

Jumaat, 27 November 2020

"Kalau betul nak tolong orang miskin, juallah siling emas di Vatican tu!" - Maradona pernah kata pada Pope John Paul II


Antara sebab mengapa Diego Armando Maradona begitu dipuja oleh orang Argentina sehingga dianggap sebagai 'tuhan' adalah kerana karakter jujur yang tidak takut kepada sesiapa pun dalam meluahkan pandangannya terhadap sesuatu isu.

Menggelarkan dirinya 'suara kepada mereka yang tak punya suara' dan wakil kepada rakyat marhaen, Maradona sering bertegang urat dengan banyak pihak yang dilihat perlakuan tidak seiring kata-katanya, baik ahli politik mahu pun pemimpin agama.

Pernah satu ketika dahulu secara terus terang legenda bola sepak itu mengakui bahawa dia menjauhkan diri daripada institusi gereja Katolik selepas berang dan tidak gemar dengan Pope John Paul II. 

Ketika melawat Kota Vatican pada tahun 2000, dilaporkan ketika itu bahawa Maradona kecewa dengan layanan yang diterimanya daripada pihak Pope. Malah, selepas melihat siling emas di dalam gereja-gerejanya, dia semakin bertambah meluat dengan insititusi tersebut.

"Saya pergi ke Vatican dan nampak siling emasnya. Kemudian saya dengar Pope berkata bahawa gereja sangat prihatin dan mengambil berat terhadap anak-anak miskin.

"Jadi? Juallah siling emas itu!", katanya memetik laporan The Independent pada 2005. 

Pada 2014, Maradona menerima kecaman hebat apabila menggelarkan Pope John Paul II sebagai 'anak haram', menurut laporan media bola sepak Australia, The World Game. Dia tak peduli, kalau dia tak suka, dia cakap terus terang tanpa tapis.

Kemudian dia hadir dalam satu majlis perlawanan bola sepak amal pada 2016, kali ini sebagai tetamu undangan Pope Francis. Begitupun, bercakap kepada media ketika acara itu, Maradona mengulangi kebencian lamanya terhadap insititusi gereja.

"Saya pernah ke Vatican dan melihat bumbung-bumbung emasnya, dan saya berkata pada diri bagaimana seseorang boleh jadi sebegitu bangsat untuk hidup di bawah bumbung emas, kemudian pergi ke negara-negara miskin dan mencium anak-anak di sana dengan perutnya yang penuh? Saya berhenti percaya (kepada gereja)," katanya kepada akhbar El Pais.

Bagaimanapun selepas bertemu Pope Francis yang juga warga senegaranya, Maradona berkata kepercayaannya dikembalikan. (BACA JUGA: Pope Francis, paus peminat tegar bola sepak yang paling 'sempoi')

Hadiah Maradona kepada Pope Francis, dengan ucapan "Buat Francisquito dengan segala kemanisan dan keamanan untuk seluruh dunia." - (foto: Wikipedia)

Kata-kata Maradona itu jika difikirkan ada asas dan kebenarannya. Ketika institusi agama memang mendapat sumbangan kolektif yang sangat banyak daripada para penganut, mengapa kebuluran dan ketinggalan pendidikan masih wujud di dunia ini? Kenapa berjubah mahal, berkereta besar, bermahkota emas ketika masih ada orang yang tidak cukup makan dan minum?

Maradona tidak cakap kosong, dia sendiri merupakan seorang yang sangat bermurah hati. Sering dilihat menyertai acara-acara amal dan selalu memberi sumbangan kepada mereka yang menyertai rombongannya. Kerana dia sendiri datang dari keluarga dan kelompok masyarakat yang miskin dan ketinggalan.

Walaupun kehidupan peribadinya penuh onak bergelut dengan masalah ketagihan kokain, sedarlah bahawa kita pun tak sesuci mana. Sudah namanya manusia, pasti membuat silap. Persoalannya bagaimana kita melihat dan menghargai sisi baik segala sesuatu di dunia ini dan menjadikannya pedoman dalam kita menggunakan bakat, kuasa, kesihatan dan kekayaan dikurnia tuhan untuk berkhidmat di jalan kebenaran.

Pemain bola sepak yang dianggap sebagai yang terbaik sepanjang zaman itu meninggal dunia pada 25 November 2020 di usia 60 tahun kerana serangan jantung, dan pemergiannya diratapi oleh seluruh Argentina dan kota yang pernah disinari kehadirannya seperti Barcelona dan Napoli.

Argentina mengumumkan berkabung selama tiga hari bagi menghormati dan memperingati pemergian wira negara itu.


*Sumber: Insider


Post Top Ad

Your Ad Spot

Menu