BARU

Post Top Ad

Your Ad Spot

Khamis, 26 November 2020

Geng Gulabi, geng bantai pelaku jenayah terhadap wanita


Badausa merupakan sebuah pekan di Uttar Pradesh, India yang sangat ketinggalan daripada dunia hari ini. Sistem kasta masih wujud di sini, di mana sebahagian besarnya populasinya adalah golongan kasta terendah yang dipanggil Dalit. 

Penduduknya berdepan diskriminasi yang teruk dari segenap penjuru. Mereka dilihat begitu hina sampaikan sebarang kes keganasan domestik pun sukar malah hampir mendapat layanan saksama oleh polis. Dek sistem yang korup itu, mereka bangkit untuk membela keadilan mereka sendiri.

Maka lahirlah Geng Gulabi - bahasa Hindi untuk 'Merah Jambu' - hasil tekad Data Sadhboth Sain pada 2003 supaya para wanita bukan sahaja daripada golongan mereka tetapi wanita seluruh India tidak lagi dilayan seperti sampah. Ini bukan setakat kumpulan NGO yang berkempen sana sini, tetapi memburu dan membelasah pesalah laku domestik yang 'terlepas pandang' oleh pihak berkuasa.

Dari hanya gerakan di dalam pekan kecil itu, Geng Gulabi yang dianggotai oleh para wanita berusia dari 18 hingga 60 tahun ini kini sudah berkembang ke serata 11 daerah di Uttar Pradesh, utara India. Menurut laporan Al-Jazeera, kini dianggarkan ahli geng ini sudah mendekati 400,000 orang setakat 2014.

Pada awalnya, mereka menumpukan kepada wanita serta mereka yang tinggal di kawasan yang tertindas, miskin dan terkebelakang serba serbi. Selain memperjuangkan nasib mereka yang tidak dipedulikan masyarakat, geng ini juga menentang korupsi kerajaan tanpa mengira siapa dan apa jantinanya.

Kerana itu Geng Gulabi ini bergerak sendiri tanpa naungan kerajaan mahupun mana-mana parti politik, untuk kekal terhindar daripada dimanipulasi. Gerak kerja mereka juga sistematik. Mereka dibahagi kepada stesen mengikut kawasan yang dikepalai oleh seorang komander. Komander itu akan membuat laporan ke pemimpin atasannya.

Selain daripada membantu membela nasib dan membekalkan keperluan kepada mereka yang memerlukan, Geng Gulabi juga mengajar wanita untuk berdikari dan kuat, dengan memberikan pendidikan asas penjanaan dan pengurusan kewangan juga kemahiran mempertahankan diri.

Hey ladies, jangan mau dibilang lemah! - (foto: filmandmedia.ucsb.edu)

Mereka tidak bertindak semberono. Jika mereka ada menerima laporan daripada sesiapa, ia akan disampaikan dahulu kepada pihak polis untuk tindakan mereka. Jika polis lambat atau buat tak endah, barulah mereka akan mengambil alih tugas pembelaan itu.

Walaupun geng beruniform serba merah jambu ini terasnya memperjuangkan perihal wanita teraniaya, mereka juga berganding bahu dengan para lelaki untuk membasmi ketidak adilan layanan terhadap kaum jantan yang juga berlaku di sana. Pendek kata, mereka adalah kumpulan pembela golongan tertindas. Sebuah kumpulan wirawati yang sebenar.

Kini, Geng Gulabi terus giat dan berkembang dengan dorongan daripada syarikat-syarikat korporat menerusi dana yang disalurkan kepada mereka. Atas jasa perjuangan mereka, Geng Gulabi juga diangkat dan diiktiraf dengan pelbagai penghargaan.

- Moralnya, kalau mereka yang dipertanggungjawabkan untuk membela rakyat dirasakan tak boleh harap, lakukannya sendiri. Sampai bila mahu terus bergantung harap kepada orang lain untuk mengubah nasib anda?


*Sumber: Wikipedia, Al-Jazeera


Post Top Ad

Your Ad Spot

Menu