Bumi ciptaan Tuhan yang kita diami ini juga menjadi rumah kepada pelbagai hidupan, merangkumi lebih 900,000 spesis serangga, 5,500 spesis mamalia, sekurang-kurangnya 10,000 spesis reptilia dan banyak lagi.
Dalam beratus ribu spesis ini, ada antaranya berupa aneh dan luar biasa. Sebenarnya banyak lagi hidupan yang masih belum diteroka, dan ini adalah antara 10 haiwan unik yang pernah ditemukan manusia.
1. Katak kaca
Amfibia ini dari keluarga Centrolenidae dan ada sekitar 150 spesis katak kaca yang diketahui setakat ini. Banyak ditemui di hutan hujan tropika Colombia, Ecuador, Costa Rica dan Panama. Ia aktif pada waktu malam dan makan serangga.
Walaupun tubuhnya kecil - hanya suku hingga setengah inci sahaja - katak ini memiliki mekanisme pertahanan yang dahsyat. Tubuhnya yang telus pandang membolehkannya sebati dengan persekitarannya, sukar dilihat oleh pemangsa.
2. Isopod gergasi
Setakat hari ini, hanya sekitar 20 peratus sahaja lautan telah diterokai manusia. Bererti lautan masih menjadi misteri yang menyimpan pelbagai lagi khazanah ciptaan tuhan yang tidak diketahui penghujungnya.
Isopod gergasi, atau Bathynomus giganteus, adalah antara yang paling pelik antara semua hidupan laut yang diketahui. Rupanya macam lipas gergasi, tetapi sebenarnya ia dalam keluarga krustasea. Saiznya dari sepanjang 7.5 inci dan boleh membesar hingga 20 inci. Paling besar yang pernah dicatat adalah 2.5 kaki panjang, yang secara tidak sengaja dibawa ke permukaan apabila ia melekap pada ROV yang meneroka 8,500 kaki di dasar laut.
Haiwan mengerikan yang mendiami dasar laut ini sebenarnya sudah hidup lebih lama daripada semua hidupan yang ada hari ini, sejak 160 juta tahun yang lalu!
3. Rusa air China
Hydropotes inermis mudah dikenali dengan taring panjang yang keluar dari mulutnya, juga digelar rusa pontianak. Bagaimanapun ia tidak makan darah, taring panjang itu hanyalah senjata untuk melawan dan mempertahankan diri.
Haiwan ini hanya ada di China, secara spesifik di wilayah Jiangsu sekitar Tanah Bencah Pantai Yancheng. Sekitar tahun 1800-an, ia dibawa ke Britain oleh para pedagang yang datang ke China. Pada 1929, ia terlepas dari Zoo Whipsnade lalu membiak ke serata luar bandar England.
Begitulah namanya, rusa ini pandai berenang. Tetapi taringnya yang unik tidak terlepas dari menjadi sasaran para pemburu, sehingga kini ia dianggap sebagai spesis yang sangat terancam oleh Kesatuan Dunia untuk Pemuliharaan Alam Sekitar (IUCN).
4. Burung undan shoebill
Inilah burung yang paling cocok menggambarkan hubung kait genetik burung dengan dinosaur. Benar, spesis ini berevolusi dari kumpulan dinosaur pemakan daging dipanggil theropod. Tinggal di paya air tawar Afrika, Balaeniceps rex berdiri setinggi empat kaki setengah dengan paruh sebesar tujuh inci yang cukup kuat untuk menyiat kulit dan daging anak buaya.
Nama shoebill diberi sempena paruhnya yang semacam bentuk terompah kayu Belanda. Ketika paruhnya juga ada rupa macam rahang T-Rex, apa yang lebih pelik adalah bunyi yang dihasilkan burung ini menyamai bunyi tembakan mesingan.
Sedihnya, haiwan unik ini juga diancam kepupusan kerana diburu secara berleluasa serta kehilangan habitat dek pembangunan. Menurut IUCN, hanya ada antara 3,300 hingga 5,300 ekor sahaja yang tinggal.
5. Cicak tenggiling
Mungkin ini buktinya bahawa naga benar-benar pernah wujud. Ditemui di celahan batu di Succulent Karoo, Afrika, Ouroborus cataphractus memiliki sisik tajam seakan naga yang sering digambarkan dalam pelbagai dongeng masyarakat dunia.
Seperti namanya, cicak ini akan menggulungkan diri seperti tenggiling apabila diancam dan menggunakan sisiknya yang tajam sebagai perlindungan. Anehnya, cicak ini tidak bertelur tetapi melahirkan anaknya, hanya seekor atau dua dalam setahun.
Malangnya, ancaman terbesarnya adalah tidak lain tidak bukan - manusia. Ia sering diburu untuk dijual di pasaran gelap sebagai haiwan peliharaan eksotik, walaupun telah diharamkan.
6. Babi laut
Haiwan aneh ini tidak mendapat namanya kerana ada kaitan dengan babi yang tinggal di daratan, tetapi sebab warnanya merah jambu dan berbentuk semacam babi. Ia dikira sebagai sejenis timun laut atau echinoderm, menetap 4,000 hingga 16,000 kaki di dasar laut.
Kerana itu, ia digelar 'vakum hidup' yang memakan sisa-sisa di permukaan dasar laut. Babi laut juga tak banyak musuh, kerana kulitnya beracun. Ia mengandungi sejenis bahan kimia toksik dipanggil holothurian, sangat beracun dan digunakan oleh para nelayan untuk memburu ikan.
Bagaimanapun, tidak banyak diketahui tentang haiwan ini kerana sukar untuk dikaji. Ia akan serta merta mencair apabila dibawa naik ke permukaan.
7. Axolotl
Ambystoma mexicanum asalnya hanya boleh ditemui hidup liar di Mexico. Ia adalah sejenis haiwan neotenic, bermaksud ia mengekalkan rupa yang sama dari kecil sehingga dewasa.
Apa yang cukup aneh tentang haiwan ini selain daripada penampilannya adalah keupayaannya untuk menumbuhkan kembali anggota tubuh yang rosak/hilang dengan sendiri. Dek keunikan genetiknya yang tiada tandingan, axolotl menjadi spesimen berharga untuk kajian sains.
Bagaimanapun disebabkan itu, haiwan ini sudah semakin hampir pupus di habitat semula jadinya, tetapi banyak ada di dalam makmal dan dijual di kedai-kedai haiwan peliharaan.
8. Ikan Mola mola
Nama saintifiknya memang Mola-Mola, daripada bahasa Latin yang bermaksud batu kisar, jelas kerana bentuk tubuhnya yang leper dan bulat. Tetapi bahasa kita menamakannya ikan matahari laut, kerana ia sering kelihatan berada dekat dengan permukaan laut, seakan-akan sedang berjemur di bawah sinaran matahari. Saintis percaya perbuatan ini adalah caranya menghadam makanan, sama seperti jerung.
Seekor Mola Mola boleh membesar sehingga 14 kaki panjang dan berat mencecah dua setengah tan - sama berat dengan seekor badak sumbu. Ia juga adalah antara ikan terberat di dunia, setanding jerung dan pari manta gergasi.
Begitupun, ikan matahari laut ini boleh melompat seperti ikan lumba-lumba. Direkodkan ikan ini pernah melompat setinggi 10 kaki. Para pengkaji mendapati perbuatan melompat itu dilakukan untuk menyingkirkan kira-kira 40 spesis parasit yang ada pada kulitnya.
9. Alligator gar
Haiwan ini seakan hasil perkahwinan ikan dengan buaya tetapi sebenarnya tiada langsung kaitan dengan buaya. Susur galur keturunan Atractosteus spatula ini berakar dari Zaman Cretaceous Awal sekitar 145 juta tahun yang lalu dan bentuk fizikalnya tidak banyak berubah sejak itu.
Ikan aneh ini banyak ditemui di sekitar Lembah Sungai Mississippi, Texas, Oklahoma, Arkansas dan Florida. Juga mendiami sekitar Amerika Tengah dan sungai di persempadangan Mexico. Ia boleh membesar sehingga 10 kaki panjang dengan berat sehingga 159 kilogram.
Apa yang begitu unik tentang ikan ini adalah ia mampu untuk hidup dalam keadaan oksigen yang kurang. Ia memiliki insang seperti ikan lain dan juga pundi renang yang disambungkan dengan saluran khas, membolehkannya mengambil udara dari permukaan dan bertahan dalam keadaan ekstrim.
10. Tikus mol berhidung bintang
Dikenali dengan nama saintifik Condylura cristata, haiwan ini mempunyai penglihatan yang sangat teruk tetapi hidungnya yang berbentuk bintang itu adalah organ sentuh yang paling sensitif antara semua mamalia yang ada di dunia.
Kajian pada 2017 mendapati muncung unik itu mengandungi lebih 100,000 serat saraf, lima kali lebih banyak daripada yang ada pada tangan manusia. Di tengah muncung mereka adalah kawasan dipanggil fovea yang bertindak sebagai 'mata', di mana gambaran tentang persekitaran diketahui mereka melalui organ ini.
Tikus ini tinggal di dalam tanah dengan persekitaran yang lembap, dan memakan serangga serta cacing. Deria barunya yang teramat sensitif membolehkannya menghidu di dalam air - satu-satunya haiwan darat yang boleh berbuat demikian.
*Sumber: All Thats Interesting