Antara cara paling cepat dan mudah untuk menghilangkan kesedihan adalah dengan makan, dan selalunya makanan yang menjadi pilihan adalah yang manis-manis.
Sebenarnya ia tidak berapa berkesan untuk menaikkan semangat anda malah tak elok kalau dimakan selalu. Ada makanan yang lebih sihat dan membekalkan nutrien yang diperlukan untuk menghasilkan bahan kimia otak yang mencetuskan rasa gembira.
Ini dia:
1. Makan dengan kandungan lemak omega-3
Lemak omega-3 hanya boleh dibekalkan kepada tubuh melalui pemakanan anda. Menurut pakar diet, kajian awal mendapati bahan ini dapat meredakan keresahan dan kemurungan. Ini kerana orang yang murung selalunya kekurangan asid eicosapentaenoic (EPA) dan asid docosahexaenoic (DHA) yang dibekalkan dalam lemak omega-3.
Antara makanan yang tinggi lemak omega-3 adalah ikan salmon, ikan sardin, biji chia dan lebih mudah suplemen minyak ikan - dapatkan sekurang-kurangnya 1 ke 2 gram omega-3 sehari.
2. Pisang
Pisang adalah sumber karbohidrat ringkas yang boleh meningkatkan kandungan gula dalam darah sekali gus menjadi pembekal tenaga segera. Ini kerana ia tinggi serat dan akan dihadam dengan perlahan.
Ia juga sumber vitamin B6, yang diperlukan untuk menukar asid amino kepada neurotransmitter seperti norepinephrine dan serotonin di dalam otak kita. Ketidak seimbangan kandungan ini boleh mengundang keresahan dan kemurungan.
3. Sayuran hijau
Kalau sedih, banyakkan makan sayur hijau kerana ia tinggi kandungan nutrien antioksidan seperti vitamin E, vitamin C dan pelbagai fitokimia. Antioksidan penting untuk kesihatan tubuh kerana ia melawan kerengsaan dalam badan dan juga otak.
Satu kajian pada 2012 mendapati orang dewasa yang lebih tua yang kurang makan makanan yang tinggi kandungan antioksidan lebih mudah untuk mengalami kemurungan. Banyak lagi kajian diperlukan, tetapi pakar setuju yang antioksidan memainkan peranan penting dalam melawan masalah itu.
4. Ayam belanda
Mungkin bukan makanan yang lazim dan mudah didapati dalam masyarakat kita, tapi daging burung lain seperti ayam yang tinggi protein juga mengandungi tryptophan yang membantu penghasilan serotonin, hormon yang bertanggungjawab memberi rasa bahagia.
Tryptophan juga membantu tubuh menghasilkan melatonin, hormon yang membantu melaraskan waktu tidur kita. Ini penting, kerana kalau tidur tak cukup atau tak menentu, kemurungan boleh melanda.
5. Makanan ditapai
Makanan ditapai ini mengandungi bakteria baik yang baik untuk perut, dan kesihatan perut memberi pengaruh besar kepada mood kita. Ini kerana bakteria baik untuk perut ini secara semula jadinya mengandungi tyrptophan dan serotonin.
Antara makanan tapai yang bagus dimakan adalah yogurt, kimchi serta minuman kefir dan kombucha.
*Sumber: Insider