BARU

Post Top Ad

Your Ad Spot

Khamis, 31 Disember 2020

Surat perpisahan buat 2020


Wahai 2020,

Tiada siapa yang menjangkakan kau datang sebegini. Sejak sekian lama kami menanti ketibaanmu dengan pelbagai harapan dan bayangan pelbagai keajaiban, namun hadirmu memberikan tamparan yang cukup hebat.

Kami jangkakan kau tiba membawa kereta terbang, sebaliknya kau menghalang kereta daripada keluar di jalanan, jauh sekali untuk terbang membelah ruang udara. Kau membawa pandemik yang telah memusnahkan harapan dan kegembiraan berjuta manusia.

Dunia tidak lagi seperti dahulu. Kami terpisah antara jasad dan nyawa, dekat tapi begitu jauh rasanya, ketidak tentuan menghantui setiap hari. Pelbagai rencana yang telah disusun rapi tahun sebelumnya kau hancurkan begitu sahaja tanpa belas. Manusia hilang arah dan punca apabila langkah kami digugat kecelakaan yang kau bawa.

Sesiapa pun mudah untuk membencimu, wahai 2020. Kau telah merosakkan segalanya. Negara hampir ranap kerana urus niaga tidak dapat berjalan seperti biasa. Jiwa-jiwa pengembara tidak dapat melihat keindahan kota-kota asing. Pedagang tidak dapat menjana keuntungan yang disasarkan.

Namun pada tatkala kau menghentikan langkah dunia, aku diberi ruang dan waktu untuk memikirkan kenapa kau hadir sebegini rupa. Kerana aku percaya setiap yang berlaku ada sebab musababnya dan tidak bergerak segala sesuatu tanpa izinNya. Maka aku cuba mencari jawapannya.

Perlahan-lahan, sedikit demi sedikit, kau memberikan tanda-tandanya untuk dibaca. Ketika manusia merintih derita, langit kembali cerah dan bersih dari asap dan debu, laut dan sungai mula menjernih, flora kembali menghijau dan fauna berani memperlihatkan dirinya sejak sekian lama tersembunyi. Siapa yang selama ini merosakkan segalanya kalau bukan kami manusia?

Kau telah menyedarkan bahawa manusia bukan berada di kemuncak kemajuan, tetapi sebenarnya berdiri di ambang kehancuran. Sejak berkurun lamanya makhluk yang diberi anugerah akal ini alpa dan lalai akan tanggungjawabnya untuk memimpin sekalian alam, kami hanya menjarah hasil bumi untuk kekayaan sendiri. Tamak dan mabuk mengejar keunggulan materi menolak manusia jatuh dari paksi keseimbangannya.

2020 bukan sekadar nombor dan ia membawa falsafah yang merumuskan kehidupan manusia. Dalam ilmu kedoktoran mata, 20/20 itu adalah bacaan mata yang seimbang dan sempurna pandangannya. Hidup ini perlu seimbang dalam setiap sesuatu, dan manusia adalah khalifahnya untuk membawa keseimbangan kepada dunia.

Bagaimanapun sudah sekian lama kami dilalaikan oleh mimpi yang tiada apa-apa. Kami menjadi begitu mementingkan diri, angkuh, gopoh, dan sentiasa lapar bak haiwan buas. Langkah kami semakin melaju sehingga kita lupa apa sebenarnya matlamat kami ditiupkan nyawa untuk melangkah di bumi tuhan ini. Kami semakin hilang nilai hormat antara manusia apatah lagi dengan alam sekeliling. Kami telah dibutakan oleh makna palsu tentang kejayaan. 

Sejujurnya, aku sangat bersyukur kau tiba, wahai 2020, selepas menyedari keindahan yang kau bawa bersama dalam celaka ini. Kau telah memperlahankan derap langkah manusia untuk membolehkan kami melihat apa yang sedang berlaku di sekeliling. Kau telah menunjukkan wajah kebinatangan yang berselindung di balik kulit manusia. Kami dapat melihat betapa parahnya sistem yang kian membarah menjadi perosak jiwa makhluk mulia.

Keranamu, kami dapat melihat siapa yang selama ini menunggang agama dan bangsa untuk memenuhkan perut laparnya, siapa yang selama ini berlagak tuhan yang tak boleh disentuh kerana pangkat dan pengaruhnya, dan siapa yang terus cekal berada di jalanNya menjulang panji-panji kebenaran.

Begitupun, wahai 2020, tidak semua berupaya membaca dan mentafsir tanda-tanda yang kau bawa ini. Ada yang terus hanyut dan leka, kerana mungkin mereka tak sempat atau belum tercapai dek tanganmu untuk kau singgahkan tamparanmu. Tapi aku yakin, suatu hari nanti mereka pasti akan tersedar jua kerana pada akhirnya, kebenaran jua akan bertakhta.

Aku menulis surat ini sebagai sebuah kenyataan perasaan terhadapmu, wahai 2020. Ramai membencimu, tetapi bukan aku. Aku melihatmu sebagai sebuah episod yang sangat penting dalam sejarah dunia dan manusia, di mana kau telah mendedahkan segala pekung untuk dibersihkan, dan membuka segala pintu untuk diteroka dalam perjalanan manusia mencari makna hidupnya.

Ketika aku mengimbas kembali setahun berlalu di hari terakhirmu bersamaku ini, aku menyedari bahawa hidup ini terlalu singkat untuk disia-siakan. Dan aku mengenang pesan bapak, bahawa hidup sebagai manusia adalah untuk berbakti atas dasar kebenaran, kejujuran dan keikhlasan.

Terima kasih, 2020. Terima kasih banyak-banyak. 


Yang akan merinduimu,

Israr Khalid


Post Top Ad

Your Ad Spot

Menu