Mengucap selamat tinggal kepada tahun yang baharu dan meraikan persalinan kalendar baharu menjadi amalan di seluruh dunia sejak entah bila. Dentuman bunga api dan mercun menjadi tanda paling lazim, tetapi ada amalan-amalan unik yang diamalkan di negara-negara tertentu ketika menyambut tahun baharu.
1. Hogmanay di Edinburgh
Ketibaan tahun baharu disambut selama tiga hari di ibu negara Scotland dan di seluruh negara itu. Pada 30 Disember, kirta-kira 8,000 orang akan menjulang obor, mewujudkan 'River of Fire' dan berarak dari Parliament Square ke Calton Hill melalui jalanan Old Town.
Pada malam ambang tahun baharu, mereka akan berpesta ria dalam apa yang dipanggil 'wee drams' dan 'ceilidh', yang dirancakkan oleh muzik dan tarian tradisional Scottish. Ia berlanjutan hingga ke 1 Januari, yang diakhiri dengan acara Loony Dook di mana orang ramai bermandi manda dalam air sungai Firth of Forth yang sejuk membeku.
2. Makan 12 biji anggur di Sepanyol
Menurut kepercayaan mereka, memakan satu-satu biji pada setiap 12 kali loceng jam berbunyi apabila masuknya tahun baharu akan membawa tuah untuk tahun mendatang. Selalunya akan dapat disaksikan di Puerta del Sol di Madrid pada malam ambang tahun baharu yang mereka panggil 'Nochevieja'.
3. Memecahkan piring di Denmark
Memecahkan sesuatu di rumah orang sering membawa konotasi sial dan nasib malang, tetapi tidak di Denmark. Pada malam ambang tahun baharu, mereka akan ke rumah ahli keluarga dan sahabat handai dan menghempas piring dan pinggan sehingga pecah pada pintu depan rumah tersebut. Seberapa banyak serpihan pecahannya pada pintu itu pada keesokan paginya menandakan populariti seseorang.
4. Melompat tujuh ombak di Brazil
Terutamanya di pantai Copacabana di Rio de Janeiro, orang tempatan akan melompat ombak yang menghempas pantai sebanyak tujuh kali kerana mempercayai ia akan membawa nasib baik untuk tahun seterusnya. Nak lagi baik, pakai pakaian putih dan bawa sejambak bunga untuk dilemparkan ke laut.
5. Makan sebanyak 7, 9 atau 12 kali di Estonia
Siapa kaki makan memang sesuai ke sini untuk menyambut tahun baharu. Orang Estonia percaya makan dalam bilangan nombor ganjil akan membawa tuah dan kekuatan. Dan tidak dimestikan untuk makan sampai habis, kerana meninggalkan sedikit makanan akan membuatkan roh nenek moyang gembira.
6. Membunyikan loceng 108 kali di Jepun
Di Jepun, ambang tahun baharu yang mereka panggil Omisoka disambut dengan membunyikan loceng di tokong-tokong Buddha. Menurut kepercayaannya, 108 kali melambangkan 108 keinginan manusia yang menjadi punca penderitaan, maka dibunyikan loceng untuk setiap satunya supaya emosi dan pemikiran negatif dapat disingkirkan.
7. Pesta Junkanoo di Bahamas
Ia adalah keraian yang dilangsungkan pada hari selepas Krismas (Boxing Day) dan hari pertama pada tahun baharu (bermula dari jam 2 pagi sehingga 10 pagi). Kumpulan penari akan berpencak di jalanan, sementara gandang akan dipalu bersama tiupan wisel dengan berpakaian kostum beraneka ragam.
8. Bergelumang dengan benda bulat di Filipina
Orang Filipina percaya bahawa tuah dan kejayaan akan bersama mereka sepanjang tahun apabila mereka dikelilingi dengan objek-objek berbentuk bulat pada ambang tahun baharu. Segalanya, dari makanan, pakaian hingga perkakasan rumah, semuanya perlu bulat.
9. Menabur cebisan kertas ke luar rumah di Argentina
Selepas mengoyak-ngoyak dan menceraikan dokumen-dokumen lama dan kertas, orang Argentina akan mencampakkannya ke luar tingkap rumah seperti confetti. Tradisinya begitu sebagai simbolik menghapuskan perkara-perkara yang lepas.
10. Bercakap dengan haiwan di Romania
Pada tahun baharu, para peladang di Romania akan berkomunikasi dengan haiwan-haiwan ternakan mereka, bercakap tentang harapan dan perkara yang baik-baik. Mereka percaya haiwan dapat membawa tuah dan perlu dilayan dengan baik.
Sumber: Oyster.com, CountryLiving.com