Kahlil Gibran (disebut Jibran) merupakan seorang pemikir yang sangat halus pembacaan dan penceritaannya. Beliau merupakan seorang seniman sejati dengan mata penanya yang menulis bait puisi indah dan melukis imej-imej simbolik tentang kehidupan.
Beliau dilahirkan pada 6 Januari 1883 di Bsharri, sebuah kampung di bawah wilayah penguasaan Empayar Uthmaniyah (kini Lubnan) dalam keluarga yang serba daif. Pada awalnya Gibran bekerja sebagai pegawai pentadbiran tempatan, dan pada 1891 ketika bertugas sebagai pengutip cukai di usia tujuh tahun, dia dipenjarakan atas kesalahan jenayah kolar putih.
Selepas dibebaskan pada 1894, Gibran bersama adik beradiknya mengikut ibu mereka berhijrah ke Amerika Syarikat. Mereka menetap di South End di Boston, komuniti Syria-Lubnan-Amerika yang kedua terbesar ketika itu. Pada ketika dia belajar di sekolah biasa, Gibran turut mendaftar di sebuah sekolah seni Denison House sekitar 1895. Di situ, dia dikenalkan kepada F. Holland Day, seorang pelukis, jurufoto dan penerbit, yang memberi galakan kepada Gibran untuk terus berkarya.
Bagaimanapun, ibunya Kamila dan abang tirinya Boutros mahu Gibran menyerap lebih banyak nilai tradisi leluhurnya berbanding budaya estatik Barat. Maka pada usia 15 tahun, Gibran kembali ke Beirut untuk mempelajari kesusateraan Arab serta bahasa Perancis selama tiga tahun di Collége de la Sagesse. Selepas menamatkan pengajian dengan cemerlang, Gibran merantau ke Paris untuk mendalami ilmu lukisan.
Gibran kembali ke Boston pada 1902 apabila mengetahui adiknya Sultana meninggal dunia akibat tibi. Tahun seterusnya, abang tirinya Boutros meninggal dunia juga disebabkan penyakit sama, dan tidak lama kemudian ibunya pula Kamila kerana kanser.
Pameran karya lukisannya yang pertama diadakan pada Januari 1904 di studio milik Holland Day di Boston. Di situ beliau bertemu dengan Mary Haskell, guru besar di sebuah sekolah perempuan di bandar itu, yang menjadi penaung dan penyokong dana kepada Gibran untuk terus berkarya, dan persahabatan serta kerjasama mereka kekal sehingga akhir hayat Gibran.
Karyanya berputar sekitar tema cinta, keadilan, kebahagiaan, jiwa manusia, hidup dan mati, serta tentang tuhan. Ia terlihat dalam setiap lukisan dan penulisannya. Walaupun lahir sebagai seorang Kristian Maronite, Gibran, sebagai seorang berbangsa Arab, banyak dipengaruhi oleh Islam dan khususnya mistik kesufian. Mempelajari dan mendalami falsafah di dalam budaya leluhurnya, agamanya serta Islam membentuk pemikiran halus Gibran.
The Prophet merupakan karyanya yang paling masyhur, diterjemah ke lebih 100 bahasa dan menjadi antara buku yang paling banyak diterjemah dalam sejarah. Setakat 2012, dianggarkan lebih daripada sembilan juta salinan edisi Amerika telah terjual. Itu tidak mengira edisi-edisi negara lain seluruh dunia sejak ia pertama kali diterbitkan pada 1923 dan masih dicetak sehingga hari ini.
Naskhah tersebut menceritakan tentang seorang utusan bernama Al Mustafa yang tinggal di sebuah kota bernama Orphalese selama 12 tahun dan sedang menantikan ketibaan kapalnya untuk membawanya pulang. Ketika penantiannya di jeti, dia didatangi penduduk kampung yang bertanyakannya tentang pelbagai persoalan tentang cinta, perkahwinan, anak, undang-undang, makan dan minum, mencari ilmu, pengajar, persahabatan, masa, baik dan buruk, keindahan, agama dan kematian.
Populariti The Prophet mekar ketika era 1960-an ketika bangkitnya gerakan New Age dan budaya luar di Amerika. Ia menjadi buku kegemaran Elvis Presley sehingga akhir hayatnya selepas mendapat salinan pertamanya pada 1956. Sebaris puisi daripada Sand and Foam (1926) iaitu "half of what I say is meaningless, but I say it so that the other half may reach you" dipetik oleh John Lennon dalam lagunya 'Julia'. Johnny Cash mengulas tentang karya-karya Gibran dalam albumnya 'Unearthed', dan David Bowie menyebut Gibran dalam lagunya 'The Width of a Circle'.
Gibran melihat agama-agama di dunia sebagai kepelbagaian cara manusia menterjemah tuhan yang sebenar-benarnya satu. Ia jelas dalam puisinya 'The Voice of the Prophet' dalam buku 'A Tear and a Smile' (1914):
Kau adalah abangku dan aku cinta kamuAku mencintaimu apabila kau sujud di dalam masjidmu, dan melutut di dalam gerejamu dan bersembahyang di dalam sinagogmu.Kau dan aku adalah anak kepada satu kepercayaan - Semangat itu. Dan mereka yang diatur sebagai pemimpin cabang-cabangnya adalah ibarat jari di tangan suci yang menunjuk kepada kesempurnaan Semangat itu.
Gibran meninggal dunia pada 10 April 1931 di Hospital St. Vincent, Manhattan. Selepas seketika ditanam di Boston, jenazahnya dibawa pulang ke Beirut dan bersemadi buat selamanya di tanah kelahirannnya, Bsharri.
Sumber: Wikipedia