Tahun depan Thailand akan menganjurkan satu jelajah untuk mempromosikan ganja ke seluruh negara itu, disokong oleh Kementerian Pelancongan dan Sukan serta Kementerian Kesihatan Awamnya.
Ya, mereka akan bikin 'tour' pusing satu Siam untuk tujuan itu, sepertimana diumumkan oleh Menteri Pelancongan dan Sukannya, Phiphat Ratchakitprakarn.
Ia bertujuan untuk meningkatkan pengetahuan dan kesedaran tentang manfaat perubatan ganja dan memberi pendidikan tentang undang-undang dan peraturan untuk menanamnya kepada mereka yang berminat.
"Sasarannya untuk mendidik orang tempatan yang berminat untuk membentuk perusahaan komuniti dengan menjadi penanam ganja yang dibenarkan. Program ini akan membuka jalan kepada pemahaman asas tentang ganja dan manfaat ekonominya," kata Phiphat.
Menurut Bangkok Post, program jelajah yang pertama seumpamanya di Asia Tenggara ini akan melibatkan lapan wilayah yang sudah dijalankan penanamannya Mae Hong Son, Lampang, Samut Songkhram, Sakon Nakhon, Nakhon Ratchasima, Buri Ram, Phatthalung, and Chon Buri.
Menteri Kesihatan Awam Thailand, Anutin Charnvirakul menuai bunga ganja pertama yang ditanam di dalam sistem ladang tertutup yang diusahakan oleh Universiti Maejo di Chiang Mai. (Foto: Bangkok Post) |
Sesiapa yang mendaftar untuk menyertai program jelajah itu akan dibawa melawat ladang ganja, menghadiri forum tentang undang-undang semasa dan demonstrasi tentang cara menanam tumbuhan itu serta menjana pendapatan daripadanya.
Kerajaan Thailand juga mahu merangsang pasaran tempatan dan luar dengan penganjuran program ini, dan kerjasama ini diharap dapat membantu warga tempatan mencipta sumber pendapatan baharu dengan kemahiran yang lebih baik dan pengetahuan tentang ganja dan pelancongan herba.
Thailand adalah negara pertama di Asia Tenggara yang menghalalkan ganja pada 2018 dan pada 4 Ogos tempoh hari, kabinetnya meluluskan pindaan terhadap Akta Narkotik untuk membenarkan pengamal perubatan persendirian, beberapa jenis pengamal perubatan tradisional dan pekebun untuk menanam ganja untuk tujuan perubatan.
Menurut kajian, banyak penyakit dapat diredakan dan diubati dengan komponen dalam tumbuhan tersebut, seperti Parkinson, epilepsi, sklerosis pelbagai, insomnia, keresahan, migrain dan pelbagai lagi. Di Thailand sudah ada beberapa klinik yang dibenarkan penggunaannya dalam kadar yang ditetapkan oleh kementerian kesihatan negara itu.
Tapi, untuk tujuan rekreasi masih lagi diharamkan. Belum lagi.
Sumber: Mashable.SEA