BARU

Post Top Ad

Your Ad Spot

Selasa, 3 Disember 2019

Kenapa Messi menang lagi Ballon D’Or?



Lionel Messi sekali lagi dinobatkan sebagai pemenang Ballon D’Or buat kali keenam tahun ini.

Ia menjadikannya pemenang terbanyak anugerah berprestij anjuran France Football itu mengatasi seteru ketat, Cristiano Ronaldo (Juventus/Portugal) yang pernah memenanginya lima kali, sekadar di tempat ketiga.

Pertahanan Liverpool/Belanda, Virgil van Dijk di tempat kedua, mendahului tiga lagi rakan sepasukan di Liverpool yang menyertai senarai 10 terbaik di mana Sadio Mane (Senegal) di tempat keempat diikuti Mohamed Salah (Mesir) di tempat kelima dan penjaga gol, Alisson Becker (Brazil) di tempat ketujuh.



Alisson turut dianugerahkan Trofi Yashin (sempena penjaga gol legenda USSR, Lev Yashin) yang pertama kali diperkenalkan, mengetepikan cabaran daripada Marc-Andre ter Stegen (Barcelona/Jerman) dan rakan senegara, Ederson (Manchester City).

Sementara Matthijs de Ligt (Juventus/Belanda) membawa pulang Trofi Kopa, anugerah buat pemain terbaik berusia bawah 21 tahun yang dipilih oleh para pemenang Ballon D’Or terdahulu.

Bagi kategori wanita pula, Meghan Rapinoe (Reign/USA) dipilih sebagai pemain terbaik tahun ini selepas memimpin negaranya memenangi Piala Dunia Wanita untuk kali kedua berturut-turut.

Alisson Becker, pemenang Trofi Yashin yang pertama.

Matthijs de Ligt, anak muda terbaik untuk membawa pulang Trofi Kopa.
Mesti ramai juga yang berkata, "Messi lagi...tak ada orang lain ke?"

Ballon D'Or, diperkenalkan sejak 1956, adalah anugerah yang ditentukan daripada undian jurnalist seluruh dunia di mana hanya seorang mewakili setiap negara.

2019 menjadi satu lagi tahun gemilang buat Messi, meledak 51 gol dan 22 assist dalam semua kejohanan untuk kelab.

Daripada jumlah itu, 36 gol diledak Messi dalam 34 perlawanan La Liga. Sekaligus menyambar Trofi Pichichi (penjaring terbanyak La Liga) yang keenam, menyamai rekod dipegang legenda Athletic Bilbao, Telmo Zarra.

Lebih separuh daripada 90 gol dijaringkan Barca pada 2019 disumbangkan oleh Messi, yang memimpin kelab untuk sekali lagi menjulang kejuaraan La Liga. Ia merupakan piala ke-34 dan gelaran La Liga ke-10 dalam kariernya, dua lagi untuk menyamai rekod legenda Real Madrid, Paco Gento.

36 gol La Liga juga menjadikan Messi penjaring terbanyak dalam liga-liga utama di Eropah, maka Kasut Emas 2019 juga dianugerahkan kepadanya.

Messi juga merupakan penjaring terbanyak Liga Juara-Juara Eropah musim 2018/2019, dengan 12 gol daripada hanya 10 perlawanan dan gol sepakan percuma menentang Liverpool pada pusingan separuh akhir dipilih sebagai gol tercantik kejohanan.

Pada penampilan ke-700 bersama Barca, Messi memecahkan satu lagi rekod apabila menjaringkan gol menentang 34 kelab berbeza dalam kancah Liga Juara-Juara, yang sebelum ini dipegang Raul Gonzalez dan Cristiano Ronaldo.

Dia juga menjaringkan gol ke-50 daripada sepakan percuma, dan mengukir nama selaku penjaring terbanyak sepanjang zaman Barcelona dengan 614 gol. Dia juga penjaring hatrik terbanyak La Liga setakat ini, berkongsi kedudukan bersama Ronaldo dengan 34 hatrik.

Pada 2019 juga, Messi mengatasi Iker Casillas (334 kali) sebagai pemain paling banyak mencatat kemenangan dalam La Liga iaitu 346 kali. Dengan 496 kemenangan dalam semua kejohanan sejak menyertai skuad utama Barca, dia juga menjadi pemain paling banyak kemenangan dalam sejarah kelab itu.

Selain menjaringkan banyak gol, Messi juga mencipta bantuan jaringan tertinggi musim lepas iaitu 13 kali - terikat dengan pemain Sevilla, Pablo Sarabia.

Dalam kancah antarabangsa bagaimanapun tidak begitu cemerlang buat Messi, sekadar berjaya merangkul pingat perak dalam Copa America. Argentina menang ke atas Chile dalam penentuan tempat ketiga selepas kecundang di tangan Brazil di separuh akhir.

Itulah dia tuan-tuan dan puan-puan, antara sebab kenapa Messi menang lagi Ballon D'Or tahun ini.

Tapi bosan juga asyik penyerang je menang. Takkan nak ukur kecemerlangan pemain posisi lain daripada jaringan gol juga? Hmm.

Berapa lagi dia mampu?


Ini dia senarai penuh kedudukan pemain terbaik Ballon D’Or 2019:

  1. Lionel Messi (Barcelona/Argentina)
  2. Virgil van Dijk (Liverpool/Belanda)
  3. Cristiano Ronaldo (Juventus/Portugal)
  4. Sadio Mane (Liverpool/Senegal)
  5. Mohamed Salah (Liverpool/Mesir)
  6. Kylian Mbappe (Paris Saint-Germain/Perancis)
  7. Alisson Becker (Liverpool/Brazil)
  8. Robert Lewandowski (Bayern Munich/Poland)
  9. Bernardo Silva (Manchester City/Portugal)
  10. Riyad Mahrez (Manchester City/Algeria)
  11. Frenkie de Jong (Barcelona/Belanda)
  12. Raheem Sterling (Manchester City/England)
  13. Eden Hazard (Real Madrid/Belgium)
  14. Kevin de Bruyne (Manchester City/Belgium)
  15. Matthijs de Ligt (Juventus/Belanda)
  16. Sergio Aguero (Manchester City/Argentina)
  17. Roberto Firmino (Liverpool/Brazil)
  18. Antoine Griezmann (Barcelona/Perancis)
  19. Trent Alexander-Arnold (Liverpool/England)
  20. Dusan Tadic (Ajax Amsterdam/Serbia
  21. Pierre-Emerick Aubameyang (Arsenal/Gabon)
  22. Son Heung-min (Tottenham Hotspurs/Korea Selatan)
  23. Huga Lloris (Tottenham Hotspurs/Perancis)
  24. Kalidou Koulibaly (Napoli/Senegal)
  25. Marc-Andre ter Stegen (Barcelona/Jerman)
  26. Donny van de Beek (Ajax Amsterdam/Belanda)
  27. Joao Felix (Atletico Madrid/Portugal)
  28. Marquinhos (Paris Saint-Germain/Brazil)
Tak puas hati? Luahkan di sini.


Post Top Ad

Your Ad Spot

Menu