BARU

Post Top Ad

Your Ad Spot

Khamis, 16 Julai 2020

Comel tapi lagi buas daripada singa!


Kucing. Kehadirannya menenangkan, malah ada kajian menemukan bahawa dengkurannya menghasilkan gelombang yang memberi kesan terapeutik kepada sesiapa yang didekatinya (BACA: Kuasa menyembuh dengkuran kucing).

Sukar untuk menolak 'godaan'nya, mesti ada rasa nak membelai setiap kali ternampak kucing (kecuali mereka yang takut kucing). Tapi tak semua kucing boleh dipercayai dan didekati, terutamanya kucing liar yang hidup di hutan walaupun rupanya seakan sama dengan kucing domestik.

Dalam keluarga kucing, spesis yang paling berbahaya bukanlah singa si raja savanna atau harimau sang raja rimba. Sebenarnya ia sejenis kucing kecil yang hidup di padang rumput selatan Afrika.

Namanya Felis nigripes, atau dipanggil black-footed cat/small-spotted cat, merupakan kucing liar terkecil di Afrika. Walaupun begitu namanya, hanya bahagian tapaknya (paw) yang berwarna hitam.

Saiznya hanya sekitar 35-52 cm dari kepala hingga ekor, berdiri setinggi 20 cm dengan berat lebih kurang 1 hingga 3 kg. Melihat kepada ukurannya memang tak sangka yang kucing ini adalah antara pemangsa paling bahaya di dunia. 

Kucing bertapak hitam ini mampu membunuh lebih banyak mangsa dalam satu malam berbanding hasil buruan seekor harimau bintang dalam tempoh enam bulan. Kadar bunuhnya adalah pada 60%, jauh lebih tinggi daripada singa yang hanya 25%.

Dietnya merangkumi kira-kira 50 jenis haiwan dan membaham sekitar 14 ekor haiwan kecil setiap malam dengan membunuh seekor mangsa setiap 50 minit. Antara menunya adalah tikus dan burung kecil. Kucing ini tidak makan serangga, bukan seleranya.

Jangan suka-suka nak belai aku ya. (Foto: Wikipedia)

Felis nigripes
memburu dengan tiga cara: "buruan pantas", "buruan perlahan", dan "tunggu dan tangkap". Dalam buruan pantas, ia boleh menerkam selaju 2 hingga 3 km/j. Ia juga mampu melangkah seperlahan 0.5 ke 0.8 km/j. Dengan teknik "tunggu dan tangkap" pula, ia akan duduk pegun bersembunyi di hadapan sarang mangsanya dan menunggu sehingga mangsa berada pada jarak sesuai untuk diterkam.

Seekor kucing bertapak hitam jantan akan matang pada usia sembilan bulan, dan betina pula pada tujuh bulan. Tempoh kehamilannya selama 63 ke 68 hari, dan mampu melahirkan dua kelompok setahun sekitar musim bunga dan musim luruh. Satu kelompok ada seekor atau dua ekor anak kucing.

Anak-anak kucing ini bagaimanapun terdedah kepada risiko dibaham haiwan yang lebih besar, biasanya serigala padang rumput, caracal dan burung pemangsa. Mereka mula hidup sendiri apabila mencapai usia tiga atau empat bulan, tapi tidak jauh dari rumah ibunya. Kucing bertapak hitam mampu hidup sehingga 15 tahun.

Biarpun ganas, kucing comel ini semakin berkurangan kerana kerap menjadi sasaran manusia yang memburunya untuk daging (padia makan kucing??), juga diancam anjing domestik serta kematian akibat kemalangan.

Kerana kekurangan taburannya, kucing bertapak hitam ini disenaraikan sebagai haiwan terancam kategori 'Vulnerable' dalam Senarai Merah Kesatuan Antarabangsa untuk Pemeliharaan Alam Semulajadi (IUCN) sejak 2002.

*Sumber gambar atas: BBC/Paul William untuk livescience.com






Post Top Ad

Your Ad Spot

Menu