BARU

Post Top Ad

Your Ad Spot

Selasa, 7 Julai 2020

Mactan saksi bisu keunggulan pelaut Melayu (Siri 2)


Menjejakkan kaki ke mana-mana tanah baharu pasti saya akan sertakan dengan pembacaan sejarahnya, dalam mengenali sedikit sebanyak tentang bumi di mana diri ini berpijak. Rupanya Filipina bukanlah tanah asing bagi saya, banyak ceritanya membuktikan bahawa kita serumpun.

Daripada kisah Lapu-Lapu membunuh Ferdinand Magellan (BACA: Lapu-Lapu Wira Orang Filipina), ia bersangkut juga dengan satu lagi cerita sejarah besar pencapaian anak Melayu. 

Ini cerita Panglima Awang, manusia pertama yang mengelilingi dunia.


Lukisan interpretasi pelukis Filipina, Emmanual F. Pañares yang dipamerkan di Kubu San Pedro, Cebu. "Kenapa dia pakai rantai salib?"- Kalau dah yang lukis pun orang Kristian, dia mesti mahu kata Enrique ni orang dia. Apa agama sekalipun, dia orang Melayu yang asalnya dari Kepulauan Melayu. (Foto: Israr Khalid)

Tertera plak di bawah lukisan Pañares itu 'Enrique de Malacca - Penterjemah Magellan. Manusia pertama yang mengelilingi dunia.' (Foto: Israr Khalid)

Sebelum memulakan ekspedisi menuju Kepulauan Rempah mengikut jalan arah barat yang dikomisyen Raja Sepanyol, Magellan adalah pegawai yang bersama dalam misi menawan Melaka pada 1511. Dari Melaka, dia membawa pulang ke Lisbon seorang hamba yang kemudian dijadikan pembantunya. 



Antonio Pigafetta, pencatat berbangsa Itali yang ikut sama dalam jurnalnya menulis penterjemah peribadi kepada Magellan itu bernama 'Henricus Nigrum de Malacca', bahasa Latin bererti Awang Hitam dari Melaka (Enrique the Black of Malacca).


Dari Melaka, Awang dibawa pulang ke Eropah untuk mempelajari cara hidup Portugis dan Sepanyol sebelum mereka memulakan pelayaran ke Timur ikut jalan arah barat pada 1519. Selepas bertahun meredah Lautan Atlantik, merentas benua Amerika dan laut luas Pasifik, akhirnya rombongan lima kapal itu tiba di Cebu.

Awanglah yang menjadi perantara Magellan dengan pemimpin Cebu, Raja Humabon dalam usahanya menawan tanah itu membawa misi 'Gold, Gospel, Glory'nya. Penentangan kemudian berlaku sehingga ke kemuncaknya dalam Pertarungan Mactan pada 27 April 1521.

Selepas kematian Magellan, sebahagian daripada orang Sepanyol yang terselamat kembali ke Cebu dan meminta perlindungan daripada Raja Humabon. Dipercayai, Awang bersepakat dengan Lapu-Lapu kemudian memujuk Raja Humabon untuk berhenti mempercayai kuasa asing yang cukup dikenalinya sepanjang 10 tahun berkhidmat bersama mereka.


Tiga hari selepas itu, pada 1 Mei 1521, Raja Humabon menganjurkan satu majlis makan malam untuk menjamu 27 orang kuat Sepanyol yang masih ada, antaranya termasuk João Serrão dan Duarte Barbossa. Kesemua mereka dibunuh di meja makan pada malam itu.


Tugu Raja Humabon di Cebu City. (Foto: Israr Khalid)

Juan Sebastian Encano dan João Lopes de Carvalho antara pegawai yang terselamat, memimpin baki armada yang tinggal berlepas meninggalkan Cebu untuk pulang ke Eropah mengikut jalan arah barat selepas episod cubaan penjajahan yang gagal.

Victoria dan Trinidad berpisah di pelabuhan Maluku (Moluccas) apabila Trinidad pimpinan Lopes de Carvalho mengalami kerosakan. Tinggallah 17 orang anak kapal termasuk Elcano daripada asalnya 277 anggota ekspedisi meneruskan perjalanan di atas Victoria, satu-satunya kapal daripada armada Magellan yang berjaya pulang ke Sepanyol.

Setibanya di Sepanyol pada 6 September 1522, catatan Pigafetta menyatakan bahawa tiada penterjemah dari Melaka ada bersama mereka. Dia silap kerana mengatakan Enrique juga mati dalam Pertempuran Mactan, walhal dia langsung tidak turun dari kapal.

Sebenarnya, Enrique bebas setelah kematian tuannya, Ferdinand di tangan Lapu-Lapu. Ia adalah wasiat yang ditulis Magellan sendiri tentang masa depan Enrique sekiranya dia gugur dalam ekspedisi itu. Bererti dia berkhidmat secara peribadi dengan Magellan dan bukannya kepada rombongan tersebut.

Itulah catatan terakhir yang diketahui tentang Awang Hitam. Selepas berambusnya rombongan Sepanyol dari Cebu, Awang dipercayai pulang ke Melaka dan tiada lagi kisah mengenainya.

Jadi, siapa sebenarnya yang pertama mengelilingi dunia? Elcano bersama 16 orang anak kapalnya atau Awang Hitam?

Awang terlebih dahulu sebenarnya memulakan perjalanannya mengelilingi dunia apabila diambil Magellan sebagai hambanya dari Melaka ke Portugal dan Sepanyol. Kemudian dari Cebu, dia pulang ke Melaka yang jaraknya hanya kira-kira 2,600km.

Kapal Victoria pimpinan Elcano pula berlabuh untuk memuat naik bekalan di Tidore, kepulauan Maluku pada 6 November. Hanya pada 21 Disember 1521, Victoria menyambung pelayaran pulang ke Sepanyol dan tiba kira-kira sembilan bulan kemudian.

Kalau diceritakan bahawa Awang terus pulang ke Melaka selepas episod di Cebu itu, mustahil perjalanan 2,600~3,000km itu mengambil masa lebih lama daripada waktu diambil untuk Elcano pulang ke Sepanyol.

Kebarangkalian besar untuk Awang sampai dahulu ke Melaka sebelum Elcano tiba di pelabuhan Salúncar de Barrameda, Sepanyol. Maka, Awang manusia pertama yang berjaya mengelilingi dunia.


Perjalanan armada Magellan mengelilingi dunia dari 1519 hingga 1522. (Foto: Wikipedia)

Garis masa perjalanan Awang/Enrique dan rombongan Ferdinand Magellan. (Foto: Israr Khalid)

Lebih 500 tahun selepas itu, Harun Aminurrashid menulis novel Panglima Awang pada 1958, sebuah roman à clef untuk membangkitkan semangat orang Melayu pasca kemerdekaan, mengingatkan kembali bahawa mereka pernah hebat sebelum ditekan penjajahan Barat.

Penulisan ini bukan untuk menuntut atau 'claim' bahawa Lapu-Lapu dan Awang Hitam adalah milik Melaka dan Sabah yang kini berada dalam sempadan politik bernama Malaysia. Ia adalah cerita kita seluruh orang asal Kepulauan Melayu yang merangkumi seluruh negara Asia Tenggara. 

Bukan untuk bermegah, tapi supaya Melayu belajar dari sejarah. Kisah lalu itu adalah bukti bahawa kita sebenarnya sudah maju, hidup harmoni antara wilayah kerajaan Melayu walaupun terpisah oleh lautan, sebelum orang putih datang menghancurkan segalanya.

Kata Søren Kierkegaard, "life can only be understood backwards, but it must be lived forwards." Jadikan sejarah sebagai peta untuk kita fahami siapa diri kita sebenarnya, dan merangka masa depan yang lebih unggul dengan acuan sendiri. 

Bukan terus 'tunduk' kepada kuasa Barat dan pada masa sama bergaduh hal remeh-temeh seperti Lapu-Lapu dan Panglima Awang siapa punya. Dapat apa?






Post Top Ad

Your Ad Spot

Menu