BARU

Post Top Ad

Your Ad Spot

Rabu, 26 Ogos 2020

Jalur Gemilang & Star-Spangled Banner: Siapa tiru siapa?



Jalur Gemilang, bendera yang menjadi lambang kedaulatan Malaysia dan kebanggaan seluruh rakyatnya. Namun ia tidak terkecuali daripada menjadi pertikaian oleh warga yang bernaung di bawahnya.

Ada yang mengatakan ia meniru bendera Amerika Syarikat, maka didakwa Jalur Gemilang tidak melambangkan identiti sebenar sebuah negara merdeka di tanah bertuah ini. Lalu wujud desakan untuk menukarnya kepada bendera yang 'lebih berjiwa bangsa'.

Sebelum berteriak membabi buta mengikut idea dangkal tanpa pembacaan yang mendalam, elok kita ketahui dari mana berakarnya rekaan yang mengilhamkan Mohamed bin Hamzah untuk mencipta Jalur Gemilang.

Bendera dengan jalur merah putih, segi empat biru (kanton) dan bulan bintang kuning itu dicipta oleh Mohamed, seorang arkitek berusia 29 tahun yang berkhidmat dengan Jabatan Kerja Raya Johor pada 1948. Ia sempena pertandingan mencipta bendera untuk Persekutuan Tanah Melayu yang bakal mengecap kemerdekaannya.

Rekaan Mohamed yang dipilih antara 373 penyertaan lain adalah diinspirasikan daripada bendera negeri kelahirannya, Johor, dengan umbul-umbul Empayar Majapahit. Pada asalnya warna bendera yang direka adalah pengubahsuaian supaya mengikut templat warna bendera Johor.

Bendera Persekutuan Tanah Melayu yang dicipta Mohamed bin Hamzah pada 1948.

Warnanya kemudian ditukar mengikut undian ramai yang dibuat oleh akhbar The Malay Mail. Bintang bucu lima, diambil daripada bendera Johor yang diinspirasikan daripada bendera Empayar Turki Uthmaniyah, juga ditukar atas saranan Dato' Onn Jaafar memandangkan ia menghampiri lambang komunis.

Rekaan dengan warna akhir itu mendapat kelulusan Raja England, George VI pada 19 Mei 1950 dan dikibarkan buat kali pertama di perkarangan kediaman Sultan Selangor (yang kemudian menjadi Istana Negara dan kini Muzium Diraja) pada 26 Mei tahun sama. Ia menjadi bendera rasmi Malaya yang tertubuh pada 31 Ogos 1957.

Pada 1963, penubuhan Malaysia yang menyaksikan 11 jalur dan bucu bintang menjadi 14 selepas penyertaan Sabah, Sarawak dan Singapura. Apabila Singapura keluar dari Malaysia, jalur ke-14 itu mewakili Wilayah Persekutuan.

Umbul-Umbul armada laut Empayar Majapahit yang masyhur sebagai kerajaan maritim besar di perairan Kepulauan Melayu sekitar kurun ke-13.

Empayar Majapahit merupakan sebuah kuasa maritim Nusantara yang unggul dan disegani seantero dunia ketika zaman kegemilangannya pada abad ke-13 hingga ke-16 dan umbul-umbul Pataka Gula Kepala menjadi lambang pengenalan mereka.

Warna merah putih berakar daripada mitologi purba bangsa Austronesia yang membawa perlambangan kuasa Bunda Bumi (merah) dan Bapak Langit (putih). Maka kerana itu warna merah putih banyak terlihat pada bendera negara berbangsa asal Austronesia seperti Tahiti, Indonesia, Malaysia, Singapura sehingga ke Madagaskar. 

Wilayah bangsa Austronesia yang merangkumi kepulauan antara New Zealand sehingga ke Madagaskar.

Merah dan putih juga perlambangan kepada falsafah dualisme alam yang saling berpasangan - siang dan malam, gelap dan terang, hidup dan mati, kiri dan kanan, hidup dan mati, ada dan tiada. Begitulah dalam dan akrabnya hubungan spiritual bangsa Melayu dengan alam yang merangkuminya yang dizahirkan dalam kehidupannya.

Melihat keunggulan dan kemasyhuran Empayar Laut Majapahit ini, Syarikat Hindia Timur British (SHTI atau East India Company, EIC) yang datang ke alam Melayu untuk berdagang sekitar kurun ke-17 meniru jalur merah putih itu lalu diterapkan kepada panji mereka.

Bendera Grand Union yang diambil daripada panji Syarikat Hindia Timur Inggeris.

Bendera SHTI dijadikan bendera pertama Amerika Syarikat pada tahun 1775 dan dipanggil sebagai Grand Union Flag. Ketika itu, bendera baharu diperlukan untuk mewakili Kongres dan Tanah Jajahan Bersatu (United Colonies) yang dianggotai oleh ramai bekas tentera laut British dan pelaut yang pernah berkhidmat dengan SHTI.

Selepas Amerika mencapai 'kemerdekaan'nya pada 1776, mereka menggantikan rekaan Union Jack pada kantonnya dengan latar biru pekat berbintang putih yang mewakili negeri-negeri bersatu. 

Kemudian disusuli pelbagai peringkat pengubahsuaian sehingga 1960 apabila Hawaii disertakan di bawah negara itu, Star-Spangled Banner menjadi 13 jalur mewakili 13 koloni asal dan 50 bintang mewakili 50 negeri-negeri Kesatuan dan kekal digunakan sehingga hari ini.

Evolusi bendera Amerika Syarikat dari dahulu hingga hari ini.

Jadi, siapa tiru siapa? Malaysia tiru Majapahit, kerajaan laut yang berpusat di pulau Jawa, yang kini sebuah wilayah bawah Indonesia? Ini tidak sepatutnya menjadi perbalahan antara dua negara bersaudara ini kerana kita bangsa serumpun yang berkongsi terlalu banyak perkara, kerana akar kita sama.

Mereka yang datang berdagang kemudian menghancurkan keharmonian Nusantara yang terbina sejak sekian lama dan mencuri segala kekayaan bumi bertuah ini, mereka itulah yang meniru kita.

*Sumber: Wikipedia, The Patriots Asia.

Post Top Ad

Your Ad Spot

Menu