URANUS atau sebutan Inggerisnya berbunyi seperti 'your-anus' yang membawa maksud 'punggung anda', secara kebetulan memang berbau busuk.
Menurut kajian Nature Astronomy oleh Patrick Irwin 2018, planet ketujuh dari matahari sebenarnya diliputi gas hidrogen sulfida di luar atmosfera, menyebabkan planet itu berbau busuk sama seperti kentut atau telur busuk.
Apa itu hidrogen sulfida?
Hidrogen sulfida (H2S) merupakan bahan kimia yang bersifat gas tanpa warna di suhu bilik, berbau busuk dan mudah terbakar.
Di bumi, gas itu boleh dijumpai pada petroleum mentah, gas gunung berapi dan mata air panas.
Bagaimana gas itu dikesan di Uranus?
Oleh kerana kedudukan planet Uranus yang terlalu jauh dan keadaan planet itu tidak sesuai untuk kapal angkasa mendarat, tiada saintis dapat memastikan kehadiran gas H2S pada Uranus.
Penemuan H2S di Uranus diperolehi Irwin dan rakan-rakannya yang bercadang untuk mengkaji udara Uranus dengan menggunakan alat spektrometer, Near-Infrared Integral Field Spectrometer (NIFS) di tapak Gemini Utara, Hawaii.