Pada tanda harga AS$20 juta bersamaan kurang lebih RM84 juta, biola bernama Messiah Stradivarius merupakan alat muzik paling mahal yang pernah wujud di muka bumi ini.
Ia merupakan antara karya agung pertukangan Antonio Stradivari, pembuat alatan muzik bertali terbaik dunia berbangsa Itali pada tahun 1716.
Stradivari menciptakan Messiah ketika dia berada di tempoh kegemilangannya di Cremona, bagaimanapun ia tidak pantas dijual malah kekal dalam kedai Stradivari sehingga kematiannya pada 1737.
Ia akhirnya terjual oleh anaknya, Paolo kepada Count Cozio di Salabue pada 1775, seorang bangsawan yang juga pengumpul biola. Pada awalnya, biola tersebut dipanggil Salabue sempena nama pemilik pertamanya.
Kemudian pada 1827 ia dibeli oleh Luigi Tarisio, juga seorang pengumpul dan penjual beli biola. Apabila Tarisio mati pada 1854, seluruh koleksinya dibeli oleh seorang pembikin biola dari Paris, Jean Baptiste Vuillaume.
Sebelum Tarisio mati, mereka pernah bertemu. Tarisio bersembang cerita tentang instrumen hebat namun tidak pernah didengari ceritanya, ketika itu menantu Vuillaume, Jean-Delphi Alard, seorang pemain biola, mencelah:
"Benarlah, Encik Tarisio, biola tuan seperti 'Messiah of the Jews' (Penyelamat orang Yahudi): Orang selalu menantikannya, namun tidak pernah kunjung tiba." Sejak itu biola tidak bernama itu membawa panggilan 'Messiah'.
Kenapa boleh jadi begitu mahal?
Messiah mendapat jolokan sebagai 'biola yang tak pernah dimainkan'. Biola dara pendek kata, nampak seperti baharu walau usianya sudah lebih 300 tahun kerana sejarah pemilikannya yang tidak pernah di tangan pemain biola.
Bagaimanapun legenda itu tidaklah begitu tepat, kerana ada dua-tiga pemain biola yang pernah mencubanya. Joseph Joachim dari Hungary menyatakan dalam satu surat diutus kepada pemilik Messiah ketika itu pada 1891, bahawa dia terkesima dengan adunan kemanisan dan keunggulan bunyi dihasilkan.
Hari ini, ia di bawah pemilikan W.E. Hill, sebuah firma pakar biola dan alat muzik bertali tetapi di bawah penjagaan Muzium Ashmolean di Oxford. Katanya muzium itu, sebagai kayu ukur untuk para pembikin biola masa hadapan pelajari.
Biola adalah sejenis alat muzik bertali yang paling mahal antara semua instrumen. Harganya sehingga jutaan Dolar, walaupun ada juga biola murah yang boleh didapati di mana-mana kedai atas talian hari ini.
Nampak rupanya lebih kurang sama, tetapi bunyi yang dihasilkan apabila tali temalinya digesek yang meletakkan nilai harga sesebuah biola itu. Ada beza. Hanya jauhari mengenal manikam.
Dahulu, manusia mencipta sesuatu untuk kekal selama boleh, made to last. Tak seperti hari ini di mana segalanya dibuat untuk dapat duit cepat dan banyak. Kuantiti didahulukan, bukan kualiti. Pakai sekali dua, tak lama kemudian rosak.
Biola-biola ciptaan Antonio Stradivari yang masih wujud hingga hari ini menjadi instrumen yang sangat tinggi nilainya. Daripada 960 buah biola yang dibuat sepanjang hayatnya dari 1644 hingga 1737, dipercayai sekitar 512 buah yang masih 'hidup' dalam keadaan yang baik.
Ia berakar daripada kehalusan pembuatannya. Stradivari menggunakan kayu berkualiti tinggi, biasanya spruce dan maple, yang dibiarkan berusia sebelum dipotong dan diukir menjadi badan biola. Semakin tua kayu, semakin baik bunyi yang dihasilkan.
Proses penuaan dalam menghasilkan kayu berkualiti tinggi turut itu dipengaruhi oleh bahan pengawet yang digunakan. Mineral yang terkandung di dalamnya membantu kayu mengeras pada masa sama melindunginya daripada dicemari oleh unsur luar.
Satu lagi formula rahsia yang kini bukan lagi rahsia tentang keunggulan biola buatan Stradivari adalah sapuan kemasan akhirnya, atau varnish. Dipercayai, cecair kemasan yang digunakan Stradivari mengandungi polysaccharide, molekul yang mengingat antara satu sama lain juga dengan kayu.
Kehadiran molekul polysaccharide iaitu sejenis gula mengeraskan kayu supaya ia dapat menghasilkan getaran yang lebih efisyen. Dan bagaimana pakar mengukur kualiti bunyi yang tinggi? Berdasarkan sehampir mana bunyi dihasilkan biola kepada suara manusia.
Bagaimanapun ada satu kajian pernah dijalankan sama ada para pemain biola elit dapat membezakan bunyi biola baharu dengan biola Stradivarius. Mereka ditutupkan mata dan diminta memainkan beberapa biola yang tidak diketahui mereka jenisnya, dan memilih mana satu bunyi yang paling digemari.
Mengejutkan, kerana lebih ramai yang menyukai bunyi yang dihasilkan oleh biola buatan baharu berbanding Stradivarius. Walaupun ia mahal, tidak semestinya mengeluarkan bunyi yang baik.
Namun, apa yang membuatkan biola buatan Stradivarius khazanah yang begitu tinggi nilainya adalah usianya yang kebanyakan melebihi 300 tahun, serta cerita dan sejarah yang sarat dibawa sepanjang kewujudannya sehingga ke hari ini.