Pernah dengan gambar selfie beruk jadi kes mahkamah dan ada larangan merakam Menara Eiffel pada waktu malam? Apa yang anda tahu tentang hakcipta gambar?
Sering kali kita terdengar isu ‘cilok’ gambar atau penggunaan gambar tanpa izin daripada tuan empunya karya sehingga berlaku kes saman-menyaman.
Hasil karya yang dibidik susah-payah sewenang-wenangnya dicuri tanpa rasa bersalah dan hanya dititipkan kredit kerana mereka menyangka itu merupakan jalan paling selamat.
Ternyata perbuatan itu salah dan tidak beretika!
Tahukah anda wahai jurugambar di Malaysia, karya-karya anda boleh ‘dijaga’ oleh sebuah agensi yang menjaga hakcipta iaitu Perbadanan Harta Intelek Malaysia (MyIPO) di bawah Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK).
Mengupas dengan lanjut, bekas jurugambar agensi berita antarabangsa EPA dan AFP, Shamshahrin Shamsudin memberitahu, berdasarkan pengalaman mengadakan forum bersama MyIPO, agensi itu menyarankan agar kelompok jurugambar mendaftarkan karya mereka.
“Setiap gambar yang kita hasilkan sendiri akan jadi hak kita, akan tetapi MyIPO juga lebih mencadangkan kepada pemunya gambar supaya kita daftar gambar kita di bawah agensi mereka.
“Ini adalah untuk lebih menyenangkan jurugambar jika terjadi satu-satu kes yang melibatkan pelanggaran hakcipta jika berlaku kes mahkamah.
“Saya juga nasihatkan untuk setiap jurugambar freelancer supaya membuat perjanjian bertulis untuk setiap tugasan,” katanya ketika ditemui baru-baru ini.
Shamshahrin Shamsudin merupakan jurugambar berpengalaman. |
Jelasnya, sebahagian besar kelompok jurugambar freelance ataupun bebas gemar menelah karya yang dibidik itu menjadi hak milik mutlak mereka.
Pada masa yang sama, pelanggan yang menggunakan khidmat mereka juga turut memikirkan perkara yang sama.
“Apa yang jadi kebanyakannya bila kita assume, kita selalunya buat assumption yang mana bagi pihak client, aku bayar, aku dapat dan bagi jurugambar pula, walaupun you bayar, tetapi hakcipta milik mereka.
“Sebenarnya perdebatan tersebut dua-dua betul dan dua-dua salah. Betulnya separuh dan salahnya juga separuh. Jurugambar kata ia milik mereka..ya, betul tetapi yang tidak betul adalah bila tidak ada persetujuan.
“Secara automatik gambar tersebut setelah dibayar oleh pelanggan akan jatuh di bawah Seksyen 26 (2) yang menyerahkan hak kepada client. Jadi saya suka nasihatkan kepada jurugambar belajar tentang hak anda dan buat hitam putih. Saya juga sangat berharap badan seperti MyIPO supaya mengkaji semula dan melakukan amendment untuk menjaga hak jurugambar itu sendiri,” katanya.
Boleh ke rakam gambar Menara Eiffel pada waktu malam?
Jika kita perhatikan, tidak banyak imej Menara Eiffel yang dirakam pada waktu malam berbanding di siang hari.
Sebenarnya bukan tidak boleh langsung, namun anda perlu ada keizinan daripada perbadanan yang menjaga mercu tanda Kota Paris itu, Société d'Exploitation de la Tour Eiffel.
“Saya pun mula-mula pelik juga, jarang kita dapat tengok gambar menara itu pada waktu malam, selalunya waktu siang. Bila saya baca banyak buku rupa-rupanya ada perbadanan yang mengawal selia Menara Eiffel.
Add caption |
“Pihak perbadanan itu bertanggungjawab dalam memasang lampu yang melilit bangunan ikonik berkenaan dan sehingga hari ini ia masih dilindungi oleh Akta Hakcipta Perancis di bawah seni artistik.
“Jadinya kalau kita nak ambil gambar Menara Eiffel pada waktu malam dengan rekaan lampu tersebut, makanya kita perlu minta izin, apatah lagi jika mahu memuat naik imej berkenaan di media sosial,” katanya.
Selfie beruk sehingga jadi kes mahkamah?
Kes ini melibatkan seorang jurugambar bernama David Slater di Indonesia apabila kamera miliknya dihampiri oleh beruk hitam.
“Monyet berkenaan bertindak menekan shutter kamera Slater sehingga terhasil swafoto atau selfie monyet berkenaan.
“Ia seterusnya menjadi pertikaian hakcipta antara Slater dan Persatuan Hak Asasi Haiwan (PETA) sehingga dibawa ke mahkamah.
“Mahkamah akhirnya memutuskan hakcipta di pihak Slater dengan alasan karya tersebut bukan diambil oleh manusia.
“Slater memenangi kes tersebut dan juga beliau berjanji untuk mendermakan setiap hasil daripada gambar tersebut kepada pertubuhan yang melindungi monyet-monyet,” jelasnya.