BARU

Post Top Ad

Your Ad Spot

Rabu, 2 September 2020

Kenali kanser kolon, pembunuh Black Panther


Satu dunia dikejutkan dengan pemergian Chadwick Boseman, pelakon yang memeran watak Black Panther, adiwira kulit hitam pertama dunia. Bukan di tangan Thanos, tetapi di alam nyata dia tewas dimamah kanser kolon.

Sebenarnya sudah empat tahun Boseman didiagnos menghidapnya pada tahap tiga, tidak lama sebelum memulakan penggambaran filem Black Panther. Bagaimanapun tidak siapa tahu penderitaannya sehinggalah dia menghembuskan nafas terakhir pada 28 Ogos tempohari.

Kanser kolon atau juga sering dipanggil colorectal cancer kerana ia terjadi di kawasan antara pangkal usus besar sehinggalah penghujungnya yang dipanggil rektum. Ia bermula sebagai gumpalan kecil dipanggil polyp, namun lama-kelamaan boleh bermutasi menjadi barah.

Kanser kolon adalah barah paling lazim menghidap kaum lelaki dan yang kedua bagi kaum wanita di Malaysia, selepas kanser payudara. Dan ianya bukan barah yang menyerang orang tua sahaja. 1 daripada 10 orang didiagnos menghidap kanser kolon pada usia sebelum 50 tahun.

Bagaimana kanser kolon boleh terjadi?

Genetik adalah faktor utama kanser ini. Kemudian, ia didorong oleh gaya pemakanan atau diet seseorang yang tidak sihat - kurang serat dan pengambilan daging merah dan daging terproses yang tinggi.

Begitu juga obesiti dan tabiat merokok dan pengambilan alkohol yang keterlaluan menjadi pemangkin yang meningkatkan risiko menghidap kanser kolon.

Begitupun, majalah fesyen Mr. Porter melaporkan pada 2018 bahawa Boseman adalah seorang yang mengamalkan diet sayuran hampir sepenuhnya, atau mostly vegan. Tapi bagaimana dia tetap menghidapnya?

Ada kajian mendapati ia berkait dengan warna kulit. Di Amerika, sejarahnya meilhat orang kulit hitam mempunyai akses terhad dan sukar mendapatkan sebarang rawatan perubatan. Stres yang berakar dari budaya perkauman juga mendorong. Lalu genetik itu diwarisi oleh anak cucu.



Apa simptom kanser kolon?

Biasanya penghidap akan mengalami perubahan tabiat membuang air besar seperti kerap sembelit atau cirit birit. Sakit atau rasa tidak selesa di bahagian abdomen, kehilangan berat badan yang tidak tahu apa puncanya, berak tak lawas, sering penat dan lemah juga petanda kehadiran kanser kolon.

Simptom paling jelas adalah apabila berak berdarah atau dubur anda mengeluarkan darah tidak semena-mena. Kadang-kadang boleh tersilap anggap sebagai buasir, tapi bila ia sudah berlaku segeralah berjumpa doktor untuk membuat pemeriksaan lanjut.

Bagaimana usaha mencegahnya?

1) Jaga berat badan. Tiada yang sihatnya apabila badan sudah berada dalam kategori gemuk dan obes. Sekurang-kurangnya 11 jenis kanser berpunca daripada obesiti.

2) Elak merokok. Ia mendatangkan risiko pelbagai penyakit seperti sakit jantung, angin ahmar dan juga punca kepada sekurang-kurangnya 14 jenis kanser termasuk kanser kolon.

3) Kekal aktif secara fizikal. Kerapkan bersenam, atau paling kurang pun berjalan 30 minit sehari, sekurang-kurangnya lima hari seminggu.

4) Kawal pengambilan daging merah, terutamanya daging terproses. Daging memang sedap, tapi bahaya kalau makan selalu. Cuba untuk makan tidak lebih tiga hidangan seminggu.

5) Makan banyak bijirin, sayur-sayuran, buah-buahan dan kekacang. Kajian mengesahkan bahawa diet berasaskan sayur adalah cara terbaik elak risiko kanser.

6) Kurangkan pengambilan makanan segera dan minuman manis yang tinggi kandungan gula, lemak dan kanji. Boba tea juga jangan terlalu kerap kerana bebola kanji itu sangat sukar untuk dihadam sebenarnya.

7) Hadkan pengambilan minum alkohol, atau tak payah minum terus. Sudah memang alkohol sifatnya menghakis, jadi bahaya untuk organ dalaman.

Selain itu, Dr. Amalina Che Bakri juga menyarankan supaya elak mengambil makanan tambahan (supplements) sebagai pencegahan kanser, sebaliknya dapatkan keperluan nutrisi anda daripada diet yang sihat iaitu memakan makanan sebenar.


Penting juga untuk mengetahui latar belakang kesihatan keluarga anda, supaya kita tahu bagaimana keadaan tubuh kita dan bagaimana untuk mengamalkan gaya hidup sihat dengan nasihat doktor.

Tak perlu tunggu usia sampai dan melepasi 50 tahun, itu pun tak tahu sampai atau tidak. Ada kelapangan dan kesempatan, buatlah pemeriksaan secara berkala. Boseman yang mostly vegan pun kena, lagi pula orang yang kerap makan burger dan air gas.

Hidup memang sekali, kata orang nikmati sepuas-puasnya. Tapi kalau dah hidup kemudian sakit tak dapat berbakti apalah gunanya. Rancak TV peduli.

*Sumber: Insider, Mayoclinic, Siteman Cancer Center, Twitter Dr. Amalina Bakri

Post Top Ad

Your Ad Spot

Menu