Disebabkan pandemik COVID-19, orang ramai disarankan duduk di rumah dan kurang melakukan aktiviti kunjung mengunjung atau merayau-rayau tanpa sebab.
Perkara itu menyebabkan banyak perniagaan, termasuk perniagaan dalam sektor pelancongan seperti hotel, taman tema dan pusat pelancongan terkesan teruk, sehingga ada yang terpaksa gulung tikar.
Tetapi pada masa yang sama, tempoh yang sukar ini menyebabkan ramai lebih kreatif dan berfikir di luar kotak dalam mencari peluang untuk meneroka idea dan konsep baharu yang lebih mesra pandemik.
Ini tiga tempat yang telah ubah konsepnya kepada sesuatu yang baharu ketika pandemik.
1. Aktiviti yoga di akuarium
Foto: REUTERS |
Oleh kerana tidak mendapat jumlah pengunjung yang lumayan akibat sekatan pintu antarabangsa, sebuah akuarium, Ocean Park di Hong Kong ditukar menjadi ruang untuk melakukan aktiviti senaman seperti yoga, meditasi dan kelas menari.
Mana taknya, suasana yang malap ditambah dengan pemandangan pelbagai spesis hidupan laut berenang menawarkan pengalaman yang begitu menyenangkan.
Bagaimanapun, SOP tetap SOP dan setiap kelas hanya dibenarkan beroperasi dengan separuh kapasiti serta pelitup muka adalah diwajibkan.
2. Berbasikal setempat di Kelab Zouk
Foto: Zouk Group |
Kehidupan malam kini tidak lagi meriah seperti sebelum pandemik COVID-19. Ketika sektor ekonomi lain sedang pulih sikit demi sedikit, industri kelab malam dan pub masih terkesan kerana masih tidak dibenarkan beroperasi.
Namun, Zouk Singapura tidak mengalah, sebaliknya berkolaborasi dengan Absolute Cycle untuk menukarkan kelab malam itu kepada kelab senam berbasikal setempat atau lebih dikenali sebagai spinning, buat sementara waktu.
Suasana di dalam kekal seperti kelab malam dari segi muzik kuat dan pancaran cahaya laser, tetapi tempat menari ada 50 buah basikal elektronik pada kedua-dua tingkat kelab itu.
Platform DJ pula menjadi tempat jurulatih mengendalikan kelas.
3. Tengok wayang dalam kereta
Menonton wayang di dalam kereta bukan lah sesuatu yang baharu, malah ia telah wujud sejak 1920-an lagi, namun pandemik mengembalikan semula trend itu.
Di ibu negara kita sendiri sudah ada panggung wayang di kawasan terbuka yang membolehkan anda memandu kenderaan anda untuk menonton wayang.
Di M-Junction, Jalan Ampang anda boleh menikmati filem di dalam kereta tanpa merisaukan tentang penjarakan fizikal.