BARU

Post Top Ad

Your Ad Spot

Isnin, 19 Oktober 2020

Betul ke menguap itu berjangkit?


Perasan atau tidak bila kita ternampak orang menguap kemudian secara tiba-tiba kadang-kadang tanpa disedari, kita pun ikut menguap sama. Dah kenapa?

Orang kata menguap memang berjangkit, tapi apa yang membuatkannya berjangkit masih belum dapat dibuktikan secara muktamad oleh para saintis. Sampai hari ini pun mereka duk cari apa sebabnya, tetapi ada beberapa teori dan hipotesis awal untuk menjelaskan fenomena itu.

Antara yang dipakai meluas adalah kaitannya dengan fisiologi yang mana teori pertama mengatakan menguap berjangkit ini disebabkan oleh satu stimulus, iaitu perbuatan menguap yang pertama. Ini dipanggil 'pola pergerakan tetap', (fixed action pattern).

Dia macam refleks, efek domino. Bila satu dah jatuh, semua ikut jatuh. Bila saya nampak awak menguap, saya ikut menguap apabila refleks saya terangsang dengan perbuatan yang saya lihat itu. Dan begitu seterusnya kepada sesiapa yang nampak saya menguap. 

Teori fisiologikal yang kedua adalah ia disebabkan 'peniruan tanpa sedar', dipanggil 'kesan sesumpah' (chameleon effect). Ertinya kita ikut perlakuan orang tanpa niat, terikut buat sama dengan begitu halus. 

Saintis kata kita terdorong untuk mengikut orang kerana ada satu sel khusus dalam badan kita yang dipanggil neuron cermin. Ia adalah sejenis sel otak yang penting dalam fungsi pembelajaran. Sejak kita lahir, kita belajar dengan meniru perbuatan orang lain. Kalau orang keliling kita makan dengan tangan kanan, kita ikut makan tangan kanan. Bila orang keliling kita hisap rokok ke mencuri ke rasuah ke, lama-lama kita cenderung terfikir untuk ikut sama perbuatan yang walaupun salah tapi sudah menjadi amalan ramai itu.

Ini sahaja jangkitan yang boleh kita benarkan berlaku ketika ini. 

Kajian pengimejan neuro menggunakan fMRI menunjukkan yang sekiranya kita nampak atau terdengar ada orang menguap, satu kawasan khusus pada otak di mana neuron cermin berkampung menerima rangsangan. Kerana itu kita terikut sama.

Hipotesis dari segi psikologikal juga ada menyentuh tentang sel otak cermin ini, yang mereka panggil neuron empati. Empati adalah kebolehan untuk memahami perasaan dialami sesorang yang lain dan merasai emosi mereka.

Baru-baru ini, saintis ada menemukan satu subset dalam kelompok neuron cermin manusia yang mencetuskan empati terhadap perasaan orang lain dengan lebih dalam. Empati lebih dirasai terhadap orang yang kita kenal, yang kita tahu latar belakangnya untuk kita merasai dan memahami apa yang benar-benar dirasakan orang itu, walaupun tidak kesemuanya.

Jadi, teori awal itu juga mengatakan bahawa menguap lebih senang berjangkit dalam kalangan ahli keluarga, teman hidup, sahabat rapat, dan seterusnya sehingga semakin rendah kekuatan jangkitannya.

Boleh ke kalau tak menguap? Tak boleh, kerana itu adalah refleks asas manusia, untuk mengembangkan urat supaya dapat mengalirkan darah dengan lebih lancar ke otak, supaya kekal peka. 

Jadi lepas ini kalau ada nampak orang menguap dan anda pun termenguap, cuba fikirkan sejenak. Mungkinkah ada orang yang anda kenal berada di sekitar? Adakah anda memang penat atau nguapan anda itu sejenis jangkitan? Atau anda ada terfikir apa-apa yang mersangkut paut dengan tidur atau penat?

Cuba buat analisis sendiri. 

*Sumber: TED-Ed





Post Top Ad

Your Ad Spot

Menu