BARU

Post Top Ad

Your Ad Spot

Khamis, 29 Oktober 2020

Fenomena luar biasa ketika kelahiran Muhammad SAW, dalam catatan sejarah Empayar Sasan


Muhammad bin Abdullah, SAW. Pemimpin terulung dalam sejarah peradaban manusia. Bukan kerana kuasa dan kekuatannya, tetapi ketertinggian budi dan kemuliaan peribadi yang tiada tandingannya.

Baginda dihadirkan ke dunia bukanlah untuk membawa kesejahteraan hanya kepada komuniti Arab sahaja, tetapi rahmat buat sekalian alam. Muhammad SAW menjadi contoh pencapaian tertinggi manusia dalam keseimbangan rohani dan jasmani.

Pada malam 20 April tahun 570 Masihi, serentak berlaku beberapa kejadian besar di Bumi dan di angkasa raya. Tiada yang terjadi di dunia ini secara kebetulan, dan kejadian-kejadian tersebut merupakan petanda alam bahawa satu makhluk teristimewa telah tiba.

Pada abad keenam, seluruh Timur Tengah kecuali tanah Arab berada di bawah kekuasaan Empayar Sasan. Kerajaan Parsi itu dipimpin oleh Maharaja Khosrow I, yang dipanggil Kisra oleh orang Arab.

Maharaja Kisra bersemayam di kota Ctesiphon, terletak di tebing timur sungai Tigris dekad dengan tempat yang hari ini dikenali sebagai Baghdad. Di bawah pemerintahannya, kota metropolis hebat yang dipanggil orang Arab sebagai Al-Mada'in itu merupakan kota terbesar di dunia.

Piring tembaga memaparkan Maharaja Khosrow I atau Kisra di atas kudanya, di Muzium Nasional Iran. (foto: Wikipedia)

Pada malam kelahiran Muhammad SAW, seluruh kota dikejutkan dari tidur mereka apabila empat belas tiang Istana Kedaulatan Maharaja yang cukup kukuh dan gah berdiri, runtuh menyembah bumi secara tiba-tiba. Melalui baki malam itu dalam ketakutan, Kisra memanggil seluruh menterinya pada keesokan paginya.

Belum sempat mesyuarat dimulakan, seorang utusan berkuda tiba membawa berita dari Astarabad (hari ini kota Gorgan, Iran) bahawa api biara sembahan mereka orang-orang Majusi (Zoroastrian) yang marak menyala sejak ribuan tahun lamanya, terpadam begitu sahaja.

Pada masa saya, baginda juga mendapat tahu bahawa pada malam yang sama, penduduk Samawah berlari naik ke puncak bukit dan tempat tinggi dalam ketakutan apabila kota itu ditenggelami air. Mereka mengutus permohonan supaya dihantar bantuan makanan dan minuman.

Kemudian Mubezan, Qadi Besarnya juga menceritakan bahawa malam tadi dia bermimpikan ratusan ekor unta dikejar kuda-kuda Arab, merentas sungai Tigris lalu berlari berserakan ke seluruh tanah Iran. Kisra bertanyakan apa maksudnya di sebalik semua ini, lalu dijawab Mubezan "sesuatu yang sangat besar akan berlaku di tanah Arab."

Satu-satunya tinggalan kota purba Ctesiphon dari zaman Empayar Sasan - Taq Kasra di Iraq. (foto: Wikipedia)

Tidak cukup berpuas hati dengan jawapan itu, Kisra memerintahkan supaya sesiapa yang cukup berpengetahuan dalam membaca tanda-tanda ini supaya tampil mengadap baginda. Surat diutuskan kepada Gabenor Hira, Numan bin Munzir yang kemudian menghantar seorang pendita bernama Abdul Masih bin Amr.

Selepas mendengar penjelasan maharaja, Abdul Masih bagaimanapun menjelaskan bahawa ilmunya tidak cukup tinggi untuk mentafsir kejadian yang melanda kota Mada'in itu. Lalu dia mencadangkan supaya dipanggil pakciknya, Satih.

Penilik nasib termasyhur di Damsyik, Satih berada dalam keadaan yang sangat uzur dan sepanjang masa berada di pembaringan, hanya menunggu ajalnya yang masih tak kunjung tiba. Abdul Masih tiba ke tempat pakciknya, lalu terus menceritakan segala yang berlaku.

Satih yang tersangat laih dan tidak mampu mengangkat tangan apatah lagi berkata-kata, tiba-tiba membuka matanya dan dalam nada keterujaan berkata:

"Wahai Abdul Masih! Wahyu Ilahi telah tiba. Pemegang tongkat telah dihantar sebagai nabi. Lembah Samawa akan dilimpahi air. Api orang Parsi telah terpadam. Dan Damsyik bukan lagi Damsyik untuk Satih. Ingatlah bahawa Hakim Ulung yang mengatur masa atas kehendakNya dan Dialah yang mengikat antara hujung tali kenabian."

Menarik nafas panjang, Satih menyambung, "Sebanyak mana bilangan menara yang runtuh, para Pemerintah akan keluar dari bangsa Sasanid dan janji itu akan terlaksana." Itulah kata-kata terakhir sebelum Satih menutup mata buat selamanya.

Dinasti Parsi paling lama berkuasa, Empayar Sasan ketika di kemuncak kuasa mereka pada kurun keenam. (foto: Wikipedia)

Benarlah ramalan itu, kerana Empayar Sasan yang berkuasa selama lebih 400 tahun tumbang  apabila kota Mada'in ditakluk tentera Islam bawah pimpinan Khalifah Umar al-Khattab pada tahun 637.

Beberapa lagi kejadian luar biasa berlaku ketika malam kelahiran Muhammad SAW, keringnya Tasik Sawa yang dianggap suci oleh orang-orang Parsi, ranapnya berhala-berhala yang memenuhi ruang sekitar Kaabah, Mekah disinari cahaya putih dan gugurnya bintang-bintang di angkasa.

Walaupun tidak semuanya dapat dijelaskan dengan sains dan dibuktikan berdasarkan catatan sejarah, ia merupakan siri kejadian simbolik yang membawa satu maksud - tibanya manusia yang akan menerangkan hati dan jalan rohani manusia yang selama ini berada dalam kegelapan.

Ajaran Muhammad SAW relevan sampai ke hari ini, walaupun kemanusiaan telah melalui pelbagai evolusi sejak kelahiran Baginda. Untuk manusia kekal menjadi makhluk mulia walau zaman silih berganti, peribadi Muhammad SAW tetap contoh terunggul yang harus menjadi pegangan sampai mati.

Salam ulangtahun kelahiran ke-1450, wahai junjungan besar sekalian alam. Semoga sejarah kelahiranmu ke dunia dihayati sedalam-dalamnya, supaya manusia kembali menjadi manusia.


*Sumber: Questions on Islam, Wikipedia



Post Top Ad

Your Ad Spot

Menu