BARU

Post Top Ad

Your Ad Spot

Selasa, 27 Oktober 2020

Kenapa ada orang takut badut?


Ramai orang terhibur dengan badut, tidak kurang juga yang takut dengannya. Apa pun persepsi orang, badut tetap kekal sebagai sejenis pemeran yang menghiburkan khalayak dengan lawak slapstik atau sebarang bentuk komedi fizikal.

Kewujudan badut bermula sejak zaman purba lagi, ditemui dalam Dinasti Kelima Mesir sekitar 2400 tahun Sebelum Masihi. Secara tradisinya, badut memainkan peranan penting dalam pembentukan sosio-agama dan psikologi masyarakat, di mana selalunya badut dan paderi dimainkan oleh orang yang sama.

Watak badut diolah daripada watak zanni si tukang lawak dalam commedia dell'arte, bentuk teater Itali yang masyhur di Eropah sekitar kurun ke-16 hingga ke-18. Ia sendiri diinspirasikan daripada watak-watak si bodoh dalam teater Rom dan Greek purba.

Daripada commedia dell'arte, ia mempengaruhi William Shakespeare mewujudkan watak seumpamanya dalam karyanya Othello dan Winter's Tale. Maka perkataan clown pertama kali direkodkan dalam dunia Inggeris adalah sekitar waktu itu, pada 1560, yang membawa maksud 'berkarat' dan 'sombong'. Asal usulnya tidak dapat dipastikan, tetapi dipercayai daripada perkataan Skadinavia klunni yang membawa erti cemerkap.

Sementara perkataan bahasa Melayu 'badut' berakar daripada bahasa Jawa kuno badhut, bermaksud orang yang kerjanya membuat lawak.

Pelakon pentas Inggeris, Joseph Grimaldi dianggap sebagai 'Bapa Badut' kerana menjadi orang pertama yang mempersembahkan watak badut di pentas profesional. Dia memperkenalkan solekan putih pada watak badut yang dimainkannya di pentas teater ternama sekitar England pada awal 1800-an.

Grimaldi sebagai Joey the Clown. (foto: Wikipedia)

Grimaldi mahu penampilan wataknya menonjol seiring dengan perwatakannya. Maka dia meletakkan lapisan cat putih pada seluruh muka dan lehernya, kemudian bentuk segi tiga berwarna merah pada pipinya, kening ditebalkan dan lukisan senyuman merah pada bibirnya. Dengan tujuan, untuk lebih menampakkan ekspresi wataknya itu.

Kemudian, watak badut berkembang bukan sahaja di atas pentas teater malah menjadi penghibur di sarkas. Penampilan bersolek putih badut diolah lagi oleh Tom Belling Sr. menjadi Auguste, si badut merah dengan solekan yang lebih menonjol, bersama kostum yang terang, kasut besar dan rambut palsu berwarna-warni.

Badut sarkas muka putih, sekitar 1900-an. (foto: Wikipedia)

Bagaimanapun, ramai yang keliru dan sukar membezakan antara badut dengan court jester. Walaupun kedua-duanya nampak seakan sama dengan penampilan menonjol, badut yang bersolek dengan jester yang memakai topi berloceng dibezakan dengan perwatakan dan peranan mereka.

Badut adalah penghibur yang membuat lawak slapstik, dengan gerak tubuh lucu serta memperbodohkan diri sendiri. Rutin persembahan mereka juga sudah dirancang, dan kerja badut wujud sehingga ke hari ini.

Sementara jester adalah penghibur peribadi kepada raja-raja zaman Pertengahan dahulu yang mengolah lawak secara spontan daripada senario yang sedang berlaku di hadapannya. Dia mengejek kebodohan khalayak secara kreatif dalam bentuk nyanyian dan seloka.

Ini jester, berbeza dengan badut walaupun lebih kurang. (foto: Pixabay)

Walaupun asal usul kewujudannya adalah untuk menghiburkan, tidak semua orang suka dengan badut. Ia dipanggil coulrophobia, dan ia bukan dibuat-buat. Tapi kenapa ada orang yang memang takut kepada badut?

Menurut ahli psikologi, perasaan ini berakar daripada pengalaman semasa seseorang itu di peringkat usia kanak-kanak. Kanak-kanak berasa senang dengan penampilan ibu bapa dan penjaganya, maka rupa itu didaftar dalam minda mereka sebagai 'wajah manusia yang selamat'.

Badut mempunyai rupa yang luar biasa, melampau dan aneh - muka putih, senyuman yang dibesar-besarkan, hidung bulat merah menyala - ia tidak padan dengan corak 'wajah manusia selamat'.

Maka ia mencetuskan amaran dalam otak kita bahawa rupa aneh yang tidak dikenali ini boleh mendatangkan bahaya dan ancaman, memandangkan kita tidak dapat membaca ekspresi wajah mereka yang sebenar, dan identiti mereka tersembunyi di sebalik solekan itu.

Pennywise bertanggungjawab dalam banyak kes coulrophobia. (foto: Wikipedia)

Antara faktor yang mencetuskan coulrophobia adalah bagaimana badut diperkenalkan buat kali pertama kepada seseorang itu. Cara pengenalan yang buruk, ditambah dengan reaksi orang sekeliling yang negatif akan mencetuskan trauma yang boleh berlanjutan dan berkekalan sehingga ke tua.

Seperti contoh, seorang kanak-kanak itu pertama kali melihat badut adalah apabila menonton siri televisyen IT, kisah tentang badut pembunuh bernama Pennywise yang diadaptasi daripada novel Stephen King. Sampai ke tua lah budak itu akan takut dengan badut, kerana menganggap badut berpotensi untuk mewujudkan ancaman sama seperti yang dilihatnya dalam filem itu.

Tak tahu nak kesian pada budak itu atau badut. Pennywise punya pasal, badut lain susah nak cari makan.

*Sumber: Wikipedia, The Fact Site, The Sun

Post Top Ad

Your Ad Spot

Menu