BARU

Post Top Ad

Your Ad Spot

Rabu, 28 Oktober 2020

Kisah pelik pelancong pulangkan barang 'sumpahan' ke Pompeii


Sejarah Pompeii purba cukup masyhur, kerana penyudahnya yang cukup hitam. Dahulunya sebuah kota yang cukup gah, lenyap hanya dalam satu malam ditenggelamkan debu letusan gunung Vesuvius sebelum ditemui lebih 1,500 tahun kemudian.

Terletak dekat teluk Napoli di wilayah Campania di selatan Itali, Pompeii dibuka oleh sejenis puak dipanggil Osci. Selepas berada di bawah pentadbiran tamadun Greek, Etruscan dan Samnite, Pompeii menjadi sebahagian tanah jajahan Rom pada kurun pertama Masihi.

Berada berhampiran muara sungai Sarno, Pompeii pantas menjadi bandar pelabuhan yang pesat. Hasil tanahnya yang subur diimport keluar, sementara rempah ratus, sutera dan hamba abdi dibawa masuk dari serta wilayah empayar Rom.

Di zaman kemuncaknya, penduduk Pompeii mencecah sehingga 20,000 dan mereka memiliki segalanya yang ada pada sebuah kota Rom yang maju - ampiteater, forum, basilika, kuil, taman-taman awam, medan makan dan rumah-rumah pelacuran. 

Bagaimanapun pada tahun 62 Masihi, bandar ini digegarkan dengan gempa bumi berskala besar. Ketika mereka sedang bangkit membangunkan semula bangunan di celah-celah runtuhan, pada suatu malam tahun 79 Masihi, Gunung Vesuvius meletus dengan dahsyatnya.

Gambaran pelukis Karl Bryullov bertajuk "Last Day of Pompeii", 1830-1833. (foto: Wikipedia)

Letusan itu memuntahkan lahar dan debu setinggi 14 kilometer, membentuk awan hitam menggelapkan seluruh kawasan sekitarnya. Sepanjang malam sehingga keesokan harinya, Vesuvius terus memuntahkan abu panas menghujani kota Pompeii.

Tatkala langit kembali cerah, seluruh Pompeii bersama kira-kira 2,000 penduduknya tenggelam di bawah timbunan abu sedalam 6 meter. Kota yang dahulunya gilang gemilang, lenyap terus dari muka bumi ini. 

Sehinggalah pada 1594, seorang arkitek bernama Demonico Fontana menemui tinggalan kota itu secara tidak sengaja ketika sedang melakukan kerja mengorek parit. Bagaimanapun dia tidak meneruskan penggalian, dan pada 1748 barulah usaha ekskavasi dimulakan dengan serius.

Acuan plaster para mangsa letusan Vesuvius di 'Garden of the Fugitives', salah satu lokasi tarikan di Pompeii hari ini. (foto: Wikipedia)

Gerak kerja sistematik para ahli arkeologi diteruskan sehingga kurun ke-19, dan pada ketika inilah kerja-kerja menuang plaster ke dalam ruang lohong yang terbentuk daripada tubuh para mangsa yang sudah terurai dilakukan.

Hari ini, Pompeii menjadi antara lokasi utama kunjungan para pelancong dan pengkaji untuk menyaksikan tinggalan daripada sebuah peradaban yang dilenyapkan sekelip mata oleh kuasa alam. Kerja-kerja ekskavasi juga masih berjalan di situ.

Baru-baru ini, seorang wanita telah menghantar satu pakej ke Itali yang didakwa mengandungi item yang diambilnya dari tapak bersejarah Pompeii itu, bersama sekeping nota maaf. Dalam surat itu juga, wanita tersebut mendakwa dia terkena 'sumpahan' kerana membawa barang itu pulang.

Menurut Taman Arkeologi Pompeii, ia bukanlah yang pertama. Bercakap kepada Lonely Planet, pegawainya Dr. Luana Tiniolo berkata pihaknya menerima sekitar 200 item dari seluruh dunia dalam tempoh sedekad yang lalu. Kebanyakannya hampir sama - kepingan mozek, seramik, batuan dan cebisan binaan bersama surat menjelaskan tindakan masing-masing memulangkan barangan tersebut.

"Ada surat yang menceritakan tentang kejadian buruk yang berlaku selepas mencuri artifak dari Pompeii seperti patah kaki dan buku lali. Ada juga yang mendengar tentang 'sumpahan' tersebut, lalu memulangkannya untuk mengelakkan sebarang bencana berlaku kepada mereka," cerita Dr. Toliono.


Surat no. 5 dalam bahasa Sepanyol, yang berbunyi: "Ini adalah cebisan yang diambil daripada ruangan di Pompeii. Sejak kami mengambilnya pada 1982 kami dilanda nasib buruk. Kami tidak tahu sama ada ia tahyul atau kebetulan. Apa pun, kami berharap yang ia dapat dipulangkan ke takdirnya - runtuhan kota Pompeii, kerana seperti saya katakan sebelum ini, kami menempuh pengalamanyang amat buruk. Kami mengambilnya hanya untuk secebis memori kota ini dan untuk menyimpan cebisan kecil daripada ruangan (di kota Pompeii) itu. Saya minta maaf. Kami tidak melakukannya dengan niat buruk, cuma untuk sebagai memori. Terima kasih banyak." - (foto: Taman Arkeologi Pompeii)

Satu lagi surat dalam bahasa Itali berbunyi: "Selamat siang, saya yakin yang kerikil-kerikil ini yang saya bawa dari Itali memberikan saya nasib malang. Atas sebab ini, saya menghantar mereka pulang supaya saya boleh bebas. Terima kasih dan selamat siang!" - (foto: Taman Arkeologi Pompeii)


Bagaimanapun katanya lagi, kekurangan maklumat tentang dari mana secara spesifik barang-barang tersebut dicuri membuatkan ianya sukar disahkan sebagai item tinggalan sejarah yang tulen. 

Moralnya, jangan gatal tangan. Tengok je diam-diam. Kau datang tempat di mana beribu orang mati tanpa rela, tidak redha dan tidak juga diredhai. Memang mendapat lah.


*Sumber: Lonely Planet, Wikipedia

Post Top Ad

Your Ad Spot

Menu