Di ketika manusia dihadkan pergerakan fizikal mereka dalam tempoh pandemik ini, pastinya lebih banyak kandungan digital menjadi pengisi masa kita sepanjang hari.
Ramai yang meluangkan waktu terluang selepas kerja dengan menonton filem atau dokumentari atau drama. Tanpa kita sedar, sebenarnya apa yang kita tonton membentuk pemikiran kita.
Memetik kata Ingmar Bergman, pembikin filem legenda dari Sweden - "Tiada seni yang menembusi nurani kita seperti yang dilakukan filem, dan ia masuk terus ke perasaan, jauh ke dalam lubuk hati kita." Maka kekuatan filem itu sangat besar, sama ada filem itu baik atau buruk.
Tepat pada masanya, sedang alam memulih ketika manusia berperang dengan virus korona COVID-19, KLEFFlix dilancarkan sebagai platform penstriman filem-filem yang membawa tema besar mengingatkan manusia tentang peranan alam dalam kehidupan kita yang sejak sekian lama kita pandang ringan.
Tahun ini memang tahun mencabar bagi semua orang. Sebagai penggiat alam sekitar dan pengelola acara, Fadly Bakhtiar bersama pasukannya di EcoKnights tidak dapat menjalankan segala acara seperti yang telah dirancang. Festival Filem Eko Antarabangsa Kuala Lumpur (KLEFF) bawah kelolaannya yang sepatutnya dilangsungkan di Publika, tidak dapat diadakan seperti kebiasaannya.
But the show must go on.
Maka tahun ini kali pertama mereka mengadakan festival secara atas talian, memanfaatkan dunia digital, dan melancarkan KLEFFlix sebagai satu inisiatif baharu untuk menayangkan filem-filem terbaik tahun ini selain menjadi platform untuk khalayak mengakses filem-filem hebat tentang alam ciptaan Tuhan dari rumah menerusi gajet masing-masing.
Israr Khalid berbual dengan orang kuat di sebalik inisiatif ini, Fadly Bakhtiar, Pengarah EcoKnights sempena penganjuran KLEFF kali ke-13 pada 19 - 25 Oktober tempohari.