BARU

Post Top Ad

Your Ad Spot

Rabu, 11 November 2020

Rumah anda 'dijajah' semut? Halau mereka secara semula jadi


Sesungguhnya semut itu juga ciptaan Tuhan seperti kita yang menumpang di bumi ini. Di mana pun kita hidup, kita tidak dapat lari daripada kewujudan semut.

Bagaimanapun ada kalanya sampai satu tahap semut-semut ini sudah semakin berleluasa sehingga memakan stok makanan kita, menghurung dapur kita, menggigit kita dan membuatkan hidup kita terganggu. Maka apabila sampai ke keadaan begitu, sesuatu perlu dilakukan.

Begitupun, jangan dilupa bahawa mereka adalah hidupan tidak berdosa, dan sudah sifat mereka begitu. Kita sebagai makhluk berakal dan berhati nurani sebolehnya elaklah daripada membunuh semut-semut itu, dan kita boleh menghalau mereka dengan cara baik. Ingatlah tidak semua penyelesaian kepada masalah adalah melalui pembunuhan.

Dengan cara yang mudah dan murah ini, dengan izin Tuhan anda boleh menyingkirkan semut dari kediaman anda. 

Pertama, gunakan kulit kayu manis atau cinnamon dalam sebutan Inggerisnya. Semut mempunyai deria bau/rasa yang sangat tajam, dan mereka tidak suka kepada bau/rasa kulit kayu manis yang kuat itu.

Caranya, campurkan sesudu kecil serbuk kulit kayu manis ke dalam secawan air dan sebatikan. Ambil segumpal kecil kapas, basahkannya dengan air campuran itu dan sapukan di kawasan laluan semut dan tempat di mana mereka keluar masuk. Ulang aplikasi selama beberapa hari.

Sebagai tambahan, letakkan beberapa cebis kulit kayu manis di tempat-tempat strategik seperti dekat dengan pintu, tingkap dan apa-apa laluan masuk dari luar. Boleh juga air campuran serbuk kulit kayu manis tadi dijadikan semburan.

Kedua, cuka. Cuka juga adalah benda yang dibenci semut. Campurkan cuka dan air pada nisbah seimbang (1:1), dan letakkan sedikit minyak lemon iaitu satu lagi bau yang mereka tak suka. Adun sebati dan jadikan cecair semburan, kemudian sembur di tempat-tempat yang sudah dinyatakan tadi. Ulang aplikasi sehingga semut tiada lagi.

Ketiga, gunakan serbuk penghalau serangga Borax atau jenama lain seumpamanya. Tak mahal dan boleh didapati di kedai-kedai hardware. Ia adalah sejenis mineral semula jadi yang terkandung dalam kebanyakan racun serangga.

Ambil secawan air suam, separuh cawan gula, dua sudu kecil Borax dan beberapa gumpal kecil kapas. Adun bahan-bahan tadi dan rendamkan kapas. Kemudian letakkan kapas basah tersebut di tempat-tempat sesuai seperti dinyatakan tadi.

Pada masa sama, sebenarnya lebih baik kalau anda cakap elok-elok dengan semut-semut itu. Tak ada yang gilanya, kerana ketahuilah bahawa segala hidupan di dunia ini boleh memahami kita kalau kena caranya.

Cubalah, mudah-mudahan dapat membantu.


*Sumber: Tips-and-trick.co


Post Top Ad

Your Ad Spot

Menu